KUALA LUMPUR 19 Dis - Syarikat Kawaguchi Manufacturing bersetuju melunaskan bayaran gaji tertunggak kepada pekerja asing di kilang pembuatannya, hasil rundingan dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada Rabu.
Dalam kenyataan hari ini, JTK memaklumkan bahawa sebutan kes (rundingan) bagi tuntutan kes buruh oleh seramai 57 pekerja asing terhadap Syarikat Kawaguchi telah berlangsung dengan pihak pekerja asing diwakili Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) manakala syarikat pula diwakili oleh Pegawai Pentadbiran Syarikat dan diikendalikan oleh pegawai dari Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang.
Menurutnya, sebutan kes yang berlangsung menemui kesepakatan apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa perkara yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan ditandatangani oleh kesemua 251 pekerja asing syarikat terbabit.
"Pihak pekerja juga bersetuju untuk menerima bayaran gaji mereka yang tertunggak dengan nilai keseluruhan adalah berjumlah lebih dari RM3 juta," kata JTK.
Selain itu, pihak pekerja asing yang terbabit turut bersetuju untuk diberikan pekerjaan melalui penempatan ke majikan baharu.
Pihak JTK Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah mengenal pasti beberapa syarikat yang berkelayakan dari aspek pematuhan undang-undang perburuhan dan syarat bagi menggajikan pekerja asing.
Pemilihan syarikat Baharu ini dibuat secara bersama dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi kawal selia.
ARTIKEL BERKAITAN: Jabatan Tenaga Kerja buka 8 kertas siasatan terhadap Kawaguchi Manufacturing
"Pihak JTKSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor dan PTK Pelabuhan Klang akan terus memantau proses bayaran gaji tertunggak.
" Mereka juga akan memantau proses pertukaran majikan para pekerja syarikat ini sehingga selesai bagi memastikan hak dan kebajikan para pekerja terbela manakala syarikat melaksanakan tanggungjawab mereka sebaiknya," kata JTK. - DagangNews.com