Kejayaan Trump diramal jadikan Malaysia dan Asia Tenggara lokasi terbaik, elak gangguan perang perdagangan AS-China, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kejayaan Trump diramal jadikan Malaysia dan Asia Tenggara lokasi terbaik, elak gangguan perang perdagangan AS-China, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - RHB Investment menjangkakan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua akan menjadikan Malaysia serta rantau Asia Tenggara lokasi terbaik untuk perdagangan global dan berkemungkinan menyaksikan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI).

 

Katanya, semasa penggal pertama Trump menjadi Presiden AS dari 2017 hingga 2021, terdapat peningkatan ketara dalam pengembangan serta penempatan semula aktiviti pembuatan Asia Timur dan Eropah ke rantau ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemaju Malaysia yang mempunyai pendedahan strategik kepada segmen industri akan menerima manfaat besar.

 

 

Katanya, sebelum ini, banyak pemaju di Malaysia dengan pembangunan taman perindustrian (yang utama di Johor ialah i-Park dan Nusajaya Techpark) mengalami lonjakan mendadak dalam permintaan untuk plot tanah industri dan kilang, kerana banyak syarikat global memilih untuk mengembangkan atau berpindah ke Asia Tenggara bagi mengelakkan potensi "gangguan" daripada perang perdagangan AS-China.

 

Permintaan meningkat dengan lebih agresif selepas era COVID-19 disebabkan desentralisasi pengeluaran untuk pengurangan risiko.

 

"Selepas berakhirnya Pilihan Raya Presiden AS semalam, kami menjangkakan ketegangan perdagangan akan berterusan, dan oleh itu, FDI dijangka terus mengalir ke Malaysia dari Asia Timur dan Eropah, dan mungkin (sedikit sebanyak) dari AS.

 

"Bergantung kepada tahap potensi tarif yang dikenakan oleh AS dalam beberapa tahun akan datang - sementara industri tertentu mungkin terjejas - kami berpendapat keseluruhan syarikat multinasional masih akan mencari Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan yang wajar untuk rancangan pengembangan mereka di Asia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pilihan utama dalam sektor itu termasuk Sime Darby Property, Mah Sing, Sunway dan UEM Sunrise.

 

Pada masa sama, RHB Investment tidak merasakan pelaburan pusat data di Malaysia akan terjejas memandangkan pendirian politik Malaysia yang neutral dan pada masa sama ia adalah lokasi pilihan untuk pusat data.

 

Katanya, sebab utama Malaysia telah dapat menarik banyak pelaburan pusat data sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah lokasi geografinya, infrastruktur gentian yang tersedia, dan tanah dan sumber yang lebih murah.

 

"Oleh itu, syarikat yang terlibat dalam pelaburan pusat data seperti Sime Darby Property dan Mah Sing diangka terus menarik lebih banyak permintaan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com