Kementerian Pertahanan terima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion - PM | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pertahanan terima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion - PM

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kementerian Pertahanan pula menerima peruntukan RM21.2 bilion, bertambah RM1.4 bilion dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

 

Kerajaan kata beliau, akan terus memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan RM5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu. 

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE – Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan TVET.

 

Menurut beliau, tumpuan khusus juga diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport.

 

Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan.

 

"Acap kali ditegaskan, isu Laut China Selatan perlu diselesaikan di meja rundingan. Kita kekal dengan pendirian bahawa ini boleh ditangani secara aman, kendatipun tidak bermakna kita bertoleransi dengan hak dan kedaulatan negara.

 

"Aset-aset perairan akan ditambah dan diselenggara," kata beliau.

 

Ini merangkumi perolehan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu:

• 6 kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2;

• Sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship; dan

• 2 Kapal Ronda Generasi Baharu.

 

Perdana Menteri berkata, sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara. Antaranya untuk:

• membina baharu dan menaik taraf ICQS di Rantau Panjang dan Bukit Berapit;

• membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah; serta

• membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.

 

Selain itu, pembangunan pekan-pekan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand turut diberi keutamaan mencakup penyediaan prasarana asas serba lengkap dengan peruntukan hampir RM1 bilion.

 

Ini termasuklah pembinaan jambatan Rantau Panjang ke Golok dan Pengkalan Kubor ke Tumpat dengan kos lebih 50 juta ringgit.

 

Susulan kekangan bekalan air di kawasan ESS Zone, Sabah, RM5 juta disediakan bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah.

 

Perdana Menteri berkata, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia telah ditubuhkan bagi meningkatkan pengurusan keluar masuk sempadan. Sebanyak 63 negara telah menggunakan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

 

Kaedah kod QR telah digunakan bagi memeriksa penumpang bas dan pengguna motosikal di pintu masuk utama selatan tanah air, dan ini memendekkan masa pemeriksaan sehingga 40 peratus.
 

"Sebanyak RM20 juta disediakan untuk terus memperkasa kawalan pintu masuk negara," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com