Kenaikan gaji minimum pada tahun hadapan dijangka beri rangsangan kepada sektor pengguna, kata UOB Kay Hian | DagangNews Skip to main content

Kenaikan gaji minimum pada tahun hadapan dijangka beri rangsangan kepada sektor pengguna, kata UOB Kay Hian

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - Kenaikan gaji minimum pada tahun hadapan dijangka memberi rangsangan kepada sektor pengguna tempatan.

 

Bermula 1 Februari 2025, gaji minimum akan meningkat daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan.

 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, kenaikan gaji seharusnya menampan perbelanjaan pengguna, lebih daripada mengimbangi kos rasionalisasi subsidi.

 

“Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan pelarasan gaji kakitangan awam dijangka menyebarkan RM20.4 bilion kepada 6.05 juta individu.

 

“Dengan tambahan RM5 bilion daripada skim pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peningkatan ketara kepada pendapatan boleh guna ini boleh memacu perbelanjaan isi rumah, terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peruncit seperti 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd dan MR DIY Group (M) Bhd dilihat merupakan penerima manfaat utama daripada kenaikan itu manakala peruncit lain seperti Senheng New Retail Bhd, Padini Holdings Bhd dan MyNews Holdings Bhd boleh menerima kesan positif.

 

Sementera itu, UOB Kay Hian berkata,kerajaan merancang penyasaran semula subsidi petrol pada pertengahan 2025.

 

Katanya, rasionalisasi itu seharusnya menjimatkan kerajaan RM8 bilion setahun.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, saham pengguna melaporkan jualan mendatar semasa musim pelaporan kewangan suku ketiga 2024.

 

“Jualan suku ketiga 2024 sektor itu mendatar pada -0.2% tahun ke tahun (-0.1% suku ke suku). Jika bukan kerana penguncupan Nestle (M) Bhd (sebanyak 18.4%) tahun ke tahun, jualan sektor akan meningkat 3.6% tahun ke tahun (atau 0.8% suku tahun ke suku tahun)," katanya. - DagangNews.com