KUALA LUMPUR 5 Feb - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta kerajaan menilai semula pajakan 28 unit helikopter AugustaWestland 139 selama 15 tahun dengan kos sebanyak RM16.6 bilion.
Beliau sebaliknya berkata, nilai berkenaan sebenarnya mampu untuk menjadi lebih murah sekiranya kerajaan bertindak langsung dengan membeli sahaja kesemua pesawat berkenaan.
"Sekali lagi, saya lihat ada (pihak) yang kaut untung," dakwa Ahli Parlimen Larut dari blok Perikatan Nasional (PN) itu ketika bangkit membahaskan titah diraja pada sesi persidangan Dewan Rakyat.
Hamzah memberikan contoh pengiraan jika dilaksanakan usaha pembelian secara terus helikopter itu daripada pengeluar, nilai harganya kemungkinan menelan kos hanya RM3.954 bilion.
“Poland beli 32 unit helikopter AugustaWestland 139 yang sama cuma harga AS$2 bilion (kira-kira RM8.8 bilion), lengkap pakej pemasangan dalam negara. Jadi kenapa kita sewa pajak dengan harga RM16.6 bilion?” soalnya.
Beliau juga membandingkan perbelanjaan Malaysia dengan Filipina, yang dilaporkan media antarabangsa telah membeli sejumlah 32 unit helikopter S70 Black Hawk dengan hanya kos AS$600 juta (kira-kira RM2.6 bilion).
Justeru, Hamzah mengimbau ketika PN memerintah, Kementerian Dalam Negeri diketuainya, membatalkan rancangan penyewaan helikopter itu selepas kajian menunjukkan yang pembeliannya adalah lebih jimat.
“Kami (pembangkang) tidak mahu satu lagi skandal seperti kes kegagalan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia. Bukankah kita sepatutnya telah mengambil pelajaran?” soal beliau lagi.
Projek LCS - yang terkenal sebagai pemerolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan kos keseluruhan RM9 bilion - berada di bawah siasatan pada 2022 selepas terbongkar kes tiada satu kapal pun disiapkan walaupun Putrajaya membelanjakan RM6.08 bilion.
Hamzah berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia juga sudah menggunakan 12 unit helikopter Eurocopter 725, yang lebih besar, lebih kuat dan dilengkapi dengan lebih bagus berbanding model AugustaWestland 139.
“Kadar kesamaan, harga dan kualiti tempur harus menjadi pertimbangan utama kerajaan dalam perolehan aset tentera. EC725 adalah lebih baik serta mempunyai simulator penerbangan penuh di negara ini," jelasnya.
Bahkan beliau menambah, penggunaan satu jenis helikopter sudah tentu akan menjimatkan kos penyelenggaraan untuk pihak kerajaan sendiri.
Hamzah merujuk pada Ogos 2024 apabila Boustead menerima kontrak RM378 juta untuk menyelenggara 12 unit helikopter EC725 selama lima tahun, dengan kos hanya RM6.3 juta seunit setahun.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan membenarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat perjanjian penyewaan helikopter jika Putrajaya tidak mempunyai apa-apa rahsia untuk disembunyikan.
“(Kami tidak mahu) rakyat menuduh konon kerajaan mengamalkan dasar yang tidak menguntungkan negara dalam jangka panjang,” jelasnya. - DagangNews.com








