Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Anuar Fariz disebut-sebut dilantik sebagai CEO MDEC | DagangNews Skip to main content

Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Anuar Fariz disebut-sebut dilantik sebagai CEO MDEC

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Okt - Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia Anuar Fariz Fadzil disebut-sebut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau MDEC.

 

"Pelantikan Anuar Fariz telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan Lembaga Pengarah MDEC dijadual bersidang esok bagi memformalisasikannya.

 

"Pengumuman rasmi dijangka beberapa hari ini," menurut sumber memberitahu DagangNews hari ini.

 

TERKINI 3 OKTOBER 2024: Ketua Dasar Awam Tiktok Malaysia Anuar Fariz Fadzil sah dilantik sebagai CEO, diumum Pengerusi MDEC

 

 

 

Anuar Fariz pernah menjadi pegawai khas kepada Dato’ Sri Mustapa Mohamed semasa berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Antarabangsa Malaysia pada 2013 hingga 2017.

 

Beliau seterusnya menyertai Axiata sebagai Ketua Pengurusan Pihak Berkepentingan Kerajaan Wilayah dan seterusnya sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif - Strategi Sektor Awam & Ekonomi Digital di Celcom Axiata Berhad pada 2019.

 

Anuar Fariz mengambil cuti belajar semasa pandemik COVID-19 bagi mengikuti pengajian Sarjana dalam Dasar Awam Antarabangsa di Universiti Johns Hopkins, Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjutan di Washington D.C. 

 

Beliau menyertai TikTok Malaysia pada Februari lalu.

 

Jawatan CEO MDEC telah kosong sejak 1 September lalu, berikutan tamatnya perkhidmatan Mahadhir Aziz pada 31 Ogos 2024.

 

Sekiranya disahkan, pemilihan Anuar Fariz dilihat sebagai `calon luar' berbanding tiga nama yang bukan sahaja disenarai pendek tetapi dikatakan sudah melalui proses temuduga.

 

Mereka terdiri daripada Dzuleira Abu Bakar, bekas CEO MRANTI yang dipandang tinggi oleh ekosistem syarikat permulaan; Azizah Aziz, yang telah menghabiskan seluruh kerjaya korporat mereka dalam satu organisasi, dalam kesnya, hampir 27 tahun di Microsoft Malaysia di mana dia kini menjadi COO.

 

Dan yang terakhir Datuk Shah Sidek, yang merupakan Lembaga Pengarah Dataprep Holdings Bhd yang baru dilantik. - DagangNews.com