KUALA LUMPUR 7 Nov - KKB Engineering Bhd menerima beberapa kontrak bernilai RM93 bagi beberapa projek dalam sektor perindustrian serta pembinaan infrastruktur.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, kontrak tersebut melibatkan perjanjian tiga tahun daripada Petroleum Sarawak Bhd (Petros), sub-kontrak daripada anak syarikat milik penuh Bina Puri Holdings Bhd, Bina Puri Builder Sdn Bhd dan pesanan pembelian daripada Greenchain Capital Sdn Bhd.
"Kontrak bersama Petros yang melibatkan perkhidmatan penyaman semula, kelayakan semula dan pengecatan semula silinder gas petroleum cecair (LPG) itu akan dilanjutkan sehingga suku ketiga 2027.
"Subkontrak bersama Bina Puri Builder bagi cadangan air wilayah Serian, bekalan fasa II (Peringkat 1) dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan.
"Pesanan pembelian Greenchain Capital untuk bekalan paip MSCL dan khas dijangka dihantar dalam tempoh 12 bulan," katanya dalam makluman kepada Bursa, hari ini.
Dalam pada itu, projek-projek tersebut dijangka memberi kesan positif ke atas pendapatan dan aset bersih KKB, walaupun ia tidak dijangka menjejaskan modal saham firma.
KKB berkata risiko yang berkaitan dengan kontrak termasuk ketersediaan tenaga mahir, kos bahan mentah, turun naik pertukaran asing dan potensi cabaran lain seperti keadaan cuaca dan perubahan dalam persekitaran politik, ekonomi dan kawal selia.
Lembaga pengarah KKB yakin penerimaan kontrak itu sejajar dengan kepentingan syarikat dan dijangka akan menyumbang kepada pertumbuhan berterusannya. - DagangNews.com