KLK bekerjasama dengan Alami Commodities pasarkan minyak sawit, lemak khusus ke pasaran Asia Barat | DagangNews Skip to main content

KLK bekerjasama dengan Alami Commodities pasarkan minyak sawit, lemak khusus ke pasaran Asia Barat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Sept - Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Alami Commodities Sdn Bhd bagi membentuk syarikat kerjasama, KLK Alami Edible Oils Sdn Bhd (KAEO) bagi mengeluarkan, menjual dan memasarkan minyak sawit dan lemak khusus di pasaran Asia Barat.

 

Di bawah terma perjanjian kerjasama itu, KLK akan memiliki 65% daripada KAEO, yang akan mengendalikan kilang penapisan dan pembungkusan yang terletak di Teluk Panglima Garang, Selangor yang akan ditauliahkan sepenuhnya pada 2025, manakala Alami akan memegang baki 35%.

 

"KLK akan menyelia semua operasi teknikal, termasuk pemerolehan bahan mentah, manakala Alami akan menguruskan usaha jualan dan pemasaran global, dengan tumpuan kepada pasaran Asia Barat," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

 

Ketua Pegawai Operasi KLK, Lee Jia Zhang berkata, kerjasama itu sejajar dengan strategi berterusan kumpulan bagi mengembangkan operasi pertengahan dengan meningkatkan keupayaan penapisan, meningkatkan kapasiti dan menyepadukan piawaian kemampanan.

 

"Kerjasama itu juga mencerminkan komitmen KLK mengoptimumkan rantaian nilai dalam industri kelapa sawit, memastikan kedua-dua daya saing dan kemampanan pada skala global," katanya.

 

 

alami commodities

 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Alami, Ahmed Alami berkata, syarikat yang memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam sektor minyak sayuran menjangkakan kerjasama itu akan meningkatkan kapasitinya dalam pengeluaran huluan dan hiliran.

 

Selain itu beliau berkata, pihaknya dapat mengembangkan portfolio produknya dan meningkatkan kualiti produk siapnya melalui penggunaan bahan mentah berkualiti tinggi.

 

"Perkongsian ini menghimpunkan kepakaran KLK dan kekuatan pemasaran global Alami, menyediakan asas untuk menyampaikan minyak sawit berkualiti dan lemak istimewa ke pasaran antarabangsa," katanya. - DagangNews.com