PETALING JAYA 21 Okt - Langkah baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka memberi manfaat kepada lebih 2.3 juta rakyat Malaysia, termasuk dua juta pekerja asing, kata KWSP.
Mekanisme bagi sumbangan wajib pekerja asing kepada dana dan pemindahan kekayaan antara generasi masih dalam perbincangan seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan 2025.
KWSP menyatakan bahawa cadangan yang dibentangkan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan persaraan semua orang agar tiada siapa yang tertinggal dalam jaminan sosial serta mempersiapkan golongan tua untuk masa depan yang lebih baik.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn menyambut baik insentif yang ditingkatkan untuk program i-Saraan, i-Suri serta perlindungan wajib bagi pekerja asing.
“KWSP mengalu-alukan kelulusan kerajaan untuk mempertingkatkan program i-Saraan dengan meningkatkan insentif padanan daripada 15% kepada 20%, tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup RM5,000 bagi setiap individu.
“Penambahbaikan ini, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025, akan memberi manfaat kepada lebih 330,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baharu," katanya.
Jelas beliau, pada separuh pertama 2024, i-Saraan mencatatkan jumlah sumbangan sebanyak RM1.61 bilion daripada 330,196 ahli, peningkatan sebanyak 103% daripada RM789.3 juta, dan kenaikan 56% dalam bilangan ahli daripada 211,361 dalam tempoh yang sama pada 2023.
Katanya, selain itu, sebagai penghargaan terhadap sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara, insentif padanan kerajaan untuk program i-Suri sebanyak 50% daripada jumlah sumbangan tahunan akan dilanjutkan untuk tahun 2025.
“Insentif ini tertakluk kepada had padanan maksimum RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup, atau sehingga mencapai umur 55 tahun, mana yang lebih awal.
"Dilancarkan pada 2018, i-Suri menggalakkan suri rumah yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih untuk menyimpan bagi jaminan kewangan masa depan mereka,” kata Ahmad Zulqarnain.
Beliau juga menyifatkan, penambahbaikan kepada i-Saraan dan kesinambungan program i-Suri memastikan kesejahteraan jangka panjang semua rakyat Malaysia terjamin.
“Dengan memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat, termasuk belia, dewasa bekerja, wanita dan warga emas, kerajaan sedang meletakkan asas untuk masa depan yang lebih adil dan berdaya tahan. KWSP menyokong sepenuhnya pendekatan ini kerana ia selaras dengan tujuan untuk membina masa depan persaraan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Mengenai mekanisme pemindahan antara generasi untuk membolehkan pemindahan langsung ke dalam akaun KWSP, Ahmad Zulqarnain berkata, skim tersebut sedang dikaji.
“Belanjawan 2025 juga mengumumkan bahawa KWSP akan mengkaji semula skimnya untuk membolehkan pemindahan simpanan antara generasi oleh ahli kepada ahli keluarga mereka.
“Ini akan memberi tambahan fleksibiliti kepada ahli dalam merancang persaraan dan kesejahteraan kewangan keluarga mereka,” ujarnya.
Beliau berpendapat, pengumuman untuk memperluas perlindungan wajib KWSP kepada pekerja bukan Malaysia selaras sepenuhnya dengan usaha lebih luas KWSP untuk memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, mempunyai akses kepada perlindungan sosial.
“Inisiatif ini akan mempromosikan keadilan yang lebih besar dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial bagi semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.
Pada masa ini, pekerja bukan Malaysia boleh memilih untuk menyumbang kepada KWSP secara sukarela.
Dasar baru itu dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta pekerja bukan Malaysia di Malaysia.
“KWSP akan memberikan kemas kini lanjut mengenai butiran kadar sumbangan, kumpulan sasaran utama dan mekanisme pelaksanaan dasar dalam masa terdekat,” tambah beliau. - DagangNews.com