KUALA LUMPUR 22 Nov - Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) berjaya mengumpul sejumlah RM45,000 untuk yayasan mereka melalui larian amal sulung disertai lebih 1,700 peserta yang diadakan pada 17 November lalu.
Ia dianjurkan sempena memperingati ulang tahun ke-7 CVSKL, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan kardiovaskular sambil menyokong pesakit yang kurang bernasib baik.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan, acara itu turut menampilkan struktur gerbang gergasi berbentuk jantung, pameran pendidikan interaktif dan ruang saringan kesihatan yang menggalakkan gaya hidup jantung sihat.
Larian diakhiri dengan cabutan bertuah dan penyampaian cek sumbangan oleh Pakar Perunding Kardiologi CVSKL, Datuk Dr. Rosli kepada ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan CVSKL, Dato' Azzat Kamaluddin sambil disaksikan ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.
Dr. Rosli berkata, satu daripada empat tunggak yang menjadikan pihaknya sebuah pusat kecemerlangan ialah komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat dan usahanya menyumbang semula kepada masyarakat.
"Acara ini sangat istimewa kerana bulan November menandakan ulang tahun kami yang ke-7, dan ia merupakan cara yang terbaik untuk meraikan kesihatan dan menyokong tujuan yang mulia," katanya dalam satu kenyataan.
Yayasan CVSKL ialah pertubuhan amal yang ditubuhkan pada 2022 untuk menyokong pendidikan dan program kesedaran mengenai kesihatan kardiovaskular, menjalankan penyelidikan dan memanjangkan sokongan kewangan kepada individu yang kurang bernasib baik yang mengalami masalah kardiovaskular.
Para doktor dari CVSKL menyumbang RM1 juta yang pertama kepada yayasan untuk memulakan usaha pengumpulan dana.
Sejak penubuhannya, yayasan berkenaan telah membantu lebih 27 individu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CVSKL, Raymond Wong berkata, setiap ringgit yang disumbangkan akan digunakan untuk membantu pesakit yang memerlukan.
"Kami berharap acara ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyertai misi kami dalam pengumpulan dana," ujarnya.
CVSKL turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penganjur dan penaja termasuk Kinohimitsu, MBT, TAGS Chiropractic & Rehabilitation dan Viatris atas sokongan mereka dalam menjayakan acara terbabit. - DagangNews.com