KUALA LUMPUR 10 Okt – Agensi pelaporan kredit terkemuka Malaysia, CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) memperkasa lebih 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di wilayah utara bagi berdepan era digital melalui program CTOS SME Biz Day Penang 2024 yang diadakan semalam.
Selaras dengan tema PKS Masa Depan: Tumbuh, Transformasi, Inovasi, para peserta PKS memperoleh pengetahuan tentang strategi digital seperti pengadaptasian kecerdasan buatan (AI), memanfaatkan penyelesaian untuk meningkatkan daya saing, menguasai e-invois, merangka strategi media sosial, serta memahami langkah-langkah yang betul dalam amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Mereka juga mempelajari tentang perlindungan daripada serangan siber dan risiko perniagaan melalui penyelesaian pengurusan kredit dan keselamatan siber.
Acara tersebut yang juga edisi pertama di Pulau Pinang, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Ia diadakan untuk membantu PKS merebut peluang dalam ekonomi Malaysia yang pesat berkembang.
Hasil Kajian Indeks Keyakinan Perniagaan RAM-CTOS BCI terkini menunjukkan bacaan tertinggi sebanyak 58.9 mata pada suku ketiga, keyakinan tertinggi bagi tahun 2024 yang menunjukkan pandangan positif PKS Malaysia terutamanya dalam jualan dan keuntungan, pengambilan pekerja, serta pelaburan modal.
Kajian RAM-CTOS BCI juga menunjukkan bahawa PKS menginginkan insentif dan pengurangan cukai sebagai tumpuan utama kerajaan dalam Bajet 2025, termasuk akses kepada pembiayaan serta bantuan dalam mengadaptasi transformasi teknologi dan digital.
PKS mahu tiga dasar utama dikembalikan dalam Bajet 2025 iaitu geran automasi, penerapan Industri 4.0 dan perkembangan infrastruktur digital, program latihan dan pembangunan kemahiran, serta akses kepada pembiayaan mikro dan pinjaman faedah rendah.
PKS juga berharap pembiayaan untuk teknologi hijau dan amalan lestari ditingkatkan ketika 25% daripada golongan itu menyatakan belum bersedia untuk e-invois, disebabkan oleh kebimbangan terhadap kos pelaksanaan dan kesukaran teknikal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CTOS Digital Berhad, Erick Hamburger berkata, pihaknya mahu membantu PKS di Pulau Pinang untuk terus berkembang, lebih-lebih lagi dalam aspek seperti transformasi digital, e-invois, strategi media sosial dan pematuhan ESG.
"Kami percaya, setiap perusahaan dan individu harus dibantu untuk menggunakan teknologi digital yang terbaik bagi meningkatkan ketepatan, kecekapan dan ketelusan. Justeru, CTOS SME Biz Day memperlihatkan teknologi digital yang penting, serta mencipta peluang untuk belajar.
"Kami telah memberi impak kepada 3,500 peserta hasil daripada gabungan dua acara kami di Kuala Lumpur serta edisi di Pulau Pinang ini," ujarnya dalam satu kenyataan.
Wilson menekankan, kementeriannya berbesar hati menyokong pemimpin industri seperti CTOS dalam usaha memperjuangkan dan memperkukuhkan ekosistem keusahawanan di wilayah utara melalui sesi perkongsian daripada usahawan tempatan yang berjaya.
"Kedua-dua CTOS dan kementerian berkongsi matlamat penyelarasan strategik yang sama, khususnya dalam merapatkan jurang penerimaan digital. Bersama-sama, kami ingin membantu perniagaan-perniagaan ini meningkatkan operasi dan mengembangkan aliran pendapatan mereka melalui platform digital," kata beliau.
Acara ini juga menampilkan tokoh-tokoh terkenal daripada agensi sektor awam dan swasta, termasuk MATRADE, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA), Digital Penang, Persatuan ESG Malaysia, Capital A, Lawrence Walter Seminars, Unifi Business, Good Foodie Media, dan SQL Account I ERP - HQ.
CTOS SME Biz Day Penang 2024 dianjurkan dengan kerjasama eksklusif Unifi Business, SQL Account I ERP – HQ dan Microsoft.
SME Biz Day Penang 2024 hanyalah satu daripada pelbagai inisiatif CTOS sebagai pemangkin proaktif untuk komuniti PKS.
Dalam persiapan untuk pelaksanaan e-invois, CTOS telah melangkah lebih jauh dengan mengundang pakar-pakar untuk mengadakan siri latihan yang merangkumi tujuh webinar percuma dan sesi latihan bersemuka sepanjang tahun yang melibatkan kira-kira 500 PKS. - DagangNews.com