Leong Hup diunjur raih pendapatan lebih baik disokong harga produk lebih baik, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Leong Hup diunjur raih pendapatan lebih baik disokong harga produk lebih baik, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Okt - Leong Hup International Bhd diunjur melaporkan pendapatan lebih kukuh pada separuh kedua 2024 disokong harga produk yang lebih baik dan penjimatan kos tukaran mata wang asing, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, permintaan bekalan di Malaysia dan Vietnam adalah stabil dibantu purata harga jualan ayam pedaging dan anak ayam yang lebih baik pada Julai hingga September 2024.

 

Bagaimanapun, di Indonesia harga mungkin lebih lemah disebabkan arahan kerajaan campur tangan kerajaan dalam keseluruhan industri.

 

"Prospek separuh kedua kumpulan itu kekal positif dengan permintaan ayam yang stabil di seluruh negara operasi utamanya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Indonesia, Malaysia dan Vietnam bersama-sama menyumbang kira-kira 84% daripada jumlah jualan Leong Hup.

 

Saham Leong Hup telah meningkat kira-kira 34% setakat tahun ini, hasil pendapatan kukuh pada separuh pertama apabila margin bertambah baik. 

 

Sementara itu, dolar AS merosot hampir 11% kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun berbanding ringgit sebelum naik semula secara mendadak minggu lepas. 

 

Sehingga kini, ringgit masih meningkat hampir 5% berbanding dolar AS.

 

Maybank IB berkata, dengan pemulihan ringgit, penjimatan kos daripada pertukaran asing mungkin mula mengalir mulai suku ketiga, selepas kumpulan itu mengurangkan tahap inventori kos yang lebih tinggi untuk jagung dan kacang soya.

 

Setiap kenaikan 10 sen ringgit berbanding dolar AS pada asas setahun penuh akan meningkatkan unjuran pendapatan untuk Leong Hup kira-kira 12% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) dan FY25, kata firma penyelidikan itu.

 

Secara keseluruhannya, Maybank IB menaikkan anggaran pendapatannya untuk FY24 sebanyak 7% dan FY25 sebanyak 5%. 

 

Tahun ini, katanya, Leong Hup dijangka memperoleh keuntungan bersih teras sebanyak RM321 juta, sedikit lebih tinggi daripada ramalan konsensus RM314 juta.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 85 sen sesaham.- DagangNews.com