KUALA LUMPUR 27 Mac - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan dividen 5% dan bonus 0.25% bagi tahun kewangan 2024 (FY24), pembayaran tertingginya dalam tempoh tujuh tahun.
Jumlah agihan ini bernilai RM514.20 juta, meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada 2023 dan agihan itu memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, ia juga menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar 5%, mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana.
ARTIKEL BERKAITAN: Dividen 5.25% LTAT cerminkan prestasi tadbir urus lebih baik kata penganalisis industri
Bagi tempoh yang ditinjau, LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM753 juta, meningkat 2.5% berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong usaha kepelbagaian aset serta pulangan lebih tinggi daripada Aset Strategik, mencerminkan pengurusan portfolio yang disiplin dan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan.

Keuntungan bersih juga terus meningkat positif, dengan lonjakan sebanyak 23.7% kepada RM588 juta bagi FY24 berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh serta pengurusan kos yang berhemat.
Sejak 2022, keuntungan bersih LTAT berkembang secara konsisten melebihi RM400 juta setiap tahun, sekali gus mengukuhkan lagi pendapatan yang terkumpul.
Dalam pada itu, rizab terkumpul LTAT mencatatkan peningkatan sebanyak 160.6% tahun ke tahun, mencapai RM1.01 bilion dan ia merupakan tahun ketiga berturut-turut jumlah rizab meningkat lebih 100% setiap tahun sejak 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi, berkata prestasi kewangan tahun ini adalah bukti kekuatan ekonomi domestik Malaysia, di mana pelaburan lembaga itu adalah 100% berasaskan pasaran domestik.
Beliau berkata, ia juga mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan yang telah mewujudkan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang stabil. Pencapaian ini juga mengukuhkan lagi kejayaan Rangka Kerja Ekonomi Madani dalam membina pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
"Pada masa yang sama, ia turut mencerminkan komitmen LTAT di bawah Kementerian Pertahanan untuk memenuhi mandat kepada pencarum, yang majoritinya adalah bumiputera dan sebahagian besar terdiri daripada kumpulan B40, selaras dengan aspirasi Ekonomi Madani.
"Berdasarkan momentum ini, keutamaan kami adalah untuk menyegerakan usaha penstrukturan semula dan mengimbangi semula portfolio, terutamanya dalam menangani risiko tumpuan berlebihan.
"Hasil daripada pelaburan akan diagihkan secara strategik kepada aset cair, bagi memastikan LTAT selaras dengan amalan terbaik pengurusan dana global," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin berkata, lembaga itu mencatatkan prestasi terbaik dalam tujuh tahun, mencerminkan keputusan pelaburan yang berhemah, pelaksanaan yang berdisiplin serta fokus jelas terhadap penciptaan nilai jangka panjang.
Beliau berkata, dengan pelan penstrukturan yang telah diluluskan serta Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik yang disemak secara berkala.
"Kami komited untuk terus mengoptimumkan portfolio dan meningkatkan daya tahan. Kami juga akan terus memperkukuh tadbir urus serta pengawasan terhadap kumpulan syarikat LTAT, bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi," katanya.- DagangNews.com








