Mah Sing, Bridge DC tambah kapasiti 200MW di hab pusat data Southville City | DagangNews Skip to main content

Mah Sing, Bridge DC tambah kapasiti 200MW di hab pusat data Southville City

Gambar hiasan dari laman web rasmi Mah Sing
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt - Mah Sing Group Bhd menandatangani perjanjian kerjasama kedua dengan Bridge Data Centres (BDC), disokong oleh Bain Capital bagi mengembangkan Mah Sing DC Hub@Southville City dengan menambahkan  200 megawatt (MW)  kapasiti kuasa hab itu.

 

Perjanjian itu merupakan sambungan perkongsian awal yang dimeterai pada Mei 2024 bagi membangunkan sebuah pusat data 100 MW di Southville.

 

Mah Sing berkata, pusat data di atas tanah seluas 14.57 hektar yang bernilai kira-kira RM311 juta, akan diperuntukkan untuk mengembangkan Mah Sing DC Hub@Southville City.

 

"BDC akan menyediakan deposit selepas kedua-dua pihak memuktamadkan perjanjian usaha sama (JVA), termasuk menetapkan nisbah saham dan melengkapkan perjanjian jual beli (SPA) tanah itu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mahsing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata, kerjasama itu sejajar dengan penekanan aspek pendigitalan dan pembangunan kecerdasan minda (AI) dalam Belanjawan 2025 Malaysia. 

 

"Malaysia menerima pelaburan berjumlah AS$16.9 bilion daripada gergasi teknologi global seperti AWS, Microsoft, Google dan Oracle. 

 

"Kerjasama ini amat tepat pada masanya, memandangkan permintaan pusat data yang dipacu oleh peningkatan AI dan pengkomputeran awan global dan pengkomputeran awan," katanya

 

Hoy Kum berkata, dengan sokongan kewangan yang kukuh, BDC menyasar untuk menarik pelanggan pusat data skala besar dan AI. 

 

Beliau berkata Hab Mah Sing DC mampu memainkan peranan penting bagi menjadikan Malaysia sebagai hab serantau utama pengurusan data dan infrastruktur digital, dengan kapasiti untuk menyokong sehingga 500 MW.


 
Katanya, fasa pertama pusat data itu dijangka dilancarkan menjelang 2026. 

 

"Kehadiran BDC di Mah Sing DC Hub@Southville City bakal menarik lebih banyak pengendali pusat data, mengukuhkan kedudukan hab sebagai destinasi pusat data serantau teratas.

 

"Kerjasama ini menggariskan komitmen Mah Sing untuk membina infrastruktur digital yang canggih. Rekod prestasi 30 tahun kami dalam pelaksanaan projek menjadikan kami rakan kongsi yang ideal kepada pemain pusat data yang mencari kepantasan ke pasaran," katanya.- DagangNews.com