Majikan boleh laksana pengaturan kerja fleksibel, tetapi tidak boleh berterusan - MEF | DagangNews Skip to main content

Majikan boleh laksana pengaturan kerja fleksibel, tetapi tidak boleh berterusan - MEF

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Nov - Ketika kebanyakan syarikat di negara ini melaksanakan pengaturan kerja fleksibel (FWAs), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagaimanapun menyatakan, bekerja dari rumah (WFH) tidak akan menjadi norma.

 

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, FWAs tidak boleh dilaksanakan berterusan walaupun 70.5% syarikat yang dikaji mengatakan mereka telah melaksanakan beberapa bentuk model kerja hibrid, terutamanya sejak tempoh pasca Covid-19.

 

"Daripada jumlah ini, sebanyak 58% menunjukkan perubahan yang jelas dalam polisi tempat kerja. Pengaturan ini merangkumi kelonggaran dalam waktu kerja, tempat kerja dan hari kerja.

 

"Namun, cara kerja yang biasa akan kekal, walaupun FWAs akan terus wujud dan hanya akan berkembang dalam bentuk-bentuk lain," katanya semasa melancarkan laporan kajian terbaharu MEF, di sini pada Rabu.

 

Kajian yang dijalankan antara 2018 hingga 2023 melibatkan 191 sektor pembuatan dan bukan pembuatan itu mendapati, syarikat-syarikat memberikan kelonggaran kepada pekerja dalam waktu kerja (40.3%), tempat kerja (39.4%) dan hari kerja (10%).

 

Ia merangkumi lima bidang iaitu gaji untuk eksekutif, gaji untuk bukan eksekutif, faedah sampingan, perjanjian kolektif dan FWAs.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, terdapat beberapa sebab mengapa sesetengah syarikat menolak FWAs.

 

Berdasarkan kajian, sejumlah 86% majikan menyebut tugas yang memerlukan kehadiran fizikal, manakala 56% bimbang tentang gangguan terhadap operasi harian, 42% meragui prestasi pekerja dalam persekitaran jarak jauh dan 35% bimbang tentang kesan terhadap kualiti perkhidmatan.

 

Shamsuddin berkata, walaupun Akta Pekerjaan telah dipinda untuk memperkenalkan FWAs bermula 1 Januari 2023, ia kekurangan garis panduan dan peraturan yang jelas dalam beberapa aspek seperti waktu kerja maksimum yang mempengaruhi pekerja bukan syif.

 

Di bawah undang-undang semasa, pekerja tidak boleh bekerja lebih dari lapan jam sehari tanpa bayaran lebih masa atau lebih dari 45 jam seminggu.

 

"Ini perlu ditangani. Kami telah mencadangkan agar kerajaan menggunakan konsep FWAs untuk pekerja syif dan bukan syif," katanya.

 

MEF juga berkata, FWAs tidak harus diwajibkan, tetapi terserah kepada budi bicara majikan berdasarkan sektor dan industri mereka.

 

Mengenai cadangan bekerja empat hari seminggu, Shamsuddin menjelaskan, sebanyak 43.3% syarikat yang beroperasi dalam persekitaran syif berpendapat ia tidak praktikal, begitu juga 26.8% dalam persekitaran bukan syif.

 

Tambahnya, sebanyak 25% syarikat yang mempunyai kedua-dua jenis persekitaran tidak pasti mengenai kebolehlaksanaan minggu kerja yang lebih pendek.

 

Shamsuddin berkata, alasan yang diberikan termasuk peranan pekerjaan yang memerlukan pengurusan jangkaan pelanggan dan sifat operasi yang berkaitan dengan pengeluaran.

 

"Walaupun 42.1% syarikat menyifatkan bekerja empat hari seminggu mungkin meningkatkan semangat pekerja, ini hanya akan memberi manfaat jangka pendek," katanya. - DagangNews.com