Malaysia melangkah ke kitaran super tenaga boleh diperbaharui menerusi projek LSS bernilai sehingga RM18 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia melangkah ke kitaran super tenaga boleh diperbaharui menerusi projek LSS bernilai sehingga RM18 bilion

KUALA LUMPUR 20 Feb - Projek solar berskala besar (LSS) termasuk LSS5, LSS5+, dan LSS6, dijangka membuka kontrak bernilai antara RM15 bilion hingga RM18 bilion dalam tempoh 24 bulan akan datang, sekali gus merangsang aktiviti yang kukuh di sektor tenaga solar di negara ini.

 

Para penganalisis menyatakan, ia adalah perkembangan terbesar projek LSS dalam sejarah negara, yang akan memastikan pemain solar terus sibuk dengan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) sehingga 2027.

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Tan Kai Shuen berkata, penambahbaikan sistem penghantaran dan pengagihan di bawah tempoh regulatori keempat (RP4) (2025–2027) akan memperkukuhkan grid negara, disokong dengan perbelanjaan modal yang dibenarkan sebanyak RM42.8 bilion.

 

Katanya, penambahbaikan itu membolehkan grid menampung kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) yang lebih tinggi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.

 

"Pengembangan kapasiti tenaga boleh diperbaharui selaras dengan peningkatan permintaan elektrik, yang dipacu oleh pertumbuhan pusat data, penggunaan kenderaan elektrik dan peralihan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi.

 

"Dalam konteks ini dan dengan sasaran RE yang lebih berani dijangka dalam sumbangan yang ditentukan secara nasional (NDC) yang akan datang, kami melihat sektor RE Malaysia memasuki kitaran super beberapa dekad apabila negara mempercepatkan peralihan tenaga," katanya seperti laporan The New Straits Times.

 

Kai Shuen berkata, pemilik tanah utama seperti SD Guthrie Bhd boleh mengambil kesempatan daripada pengembangan ladang solar berskala besar, terutamanya di kawasan luar bandar di mana tanah yang luas boleh digunakan untuk projek RE.

 

"Dengan Malaysia dijangka menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, kepimpinannya dalam usaha peralihan tenaga serantau akan mendapat perhatian, menekankan komitmen negara untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan tindakan terhadap perubahan iklim," jelasnya.

 

solar

 

Penganalisis dari Kenanga Investment Bank Bhd, Nigel Ng pula berkata, pemain EPCC masih boleh mendapat manfaat daripada harga panel solar yang lebih rendah, dengan margin keuntungan kasar dianggarkan pada kadar pertengahan rendah untuk LSS5+.

 

"Dengan harga semasa, kami menjangkakan kadar tawaran berada antara 14 sen/kWh hingga 18 sen/kWh, yang memberikan kadar pulangan dalaman projek sebanyak lapan peratus," ujarnya.

 

Ng berkata, Solarvest Holdings mempunyai kedudukan pasaran yang kukuh, rekod pelaksanaan yang baik, pelanggan dan cadangan nilai daripada program pembiayaan sistem fotovoltaiknya.

 

Beliau menambah, syarikat itu mempunyai kebolehan pendapatan yang kukuh yang disokong oleh tempahan dan pesanan tertunggak yang besar, serta pendapatan berulang daripada portfolio aset solar yang berkembang.

 

Bagi Samaiden Group Bhd, beliau berkata, syarikat tersebut memberi tumpuan kepada projek kediaman dan komersial yang biasanya menghasilkan margin yang lebih tinggi.

 

Katanya, syarikat berkenaan juga menonjol kerana menyediakan rumusan lengkap, termasuk pembiayaan untuk pelanggan dan mempunyai kebolehan pendapatan yang kukuh disebabkan oleh buku tempahan dan tender yang besar.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Holdings Bhd, Davis Chong dalam pada itu berkata, syarikatnya yang mempunyai 30 peratus bahagian pasaran dan telah menyiapkan 1.3GW projek tenaga boleh diperbaharui, mampu menguruskan inisiatif solar berskala besar.

 

Jelas beliau, dengan kepakaran teknikal yang kukuh, kekuatan kewangan dan kapasiti pelaksanaan, Solarvest bersedia melaksanakan projek-projek kompleks.

 

Beliau menambah, perkongsian dengan pemilik pelaburan dan tanah juga membolehkan syarikat itu memanfaatkan peluang yang muncul di pasaran solar.

 

"Persaingan semakin sengit apabila pemain baharu muncul, namun sektor ini juga menghadapi kekurangan kontraktor dan buruh berpengalaman, justeru itu ia memerlukan peningkatan kemahiran tenaga kerja," katanya.

 

Beliau juga meminta sokongan kerajaan dalam menaik taraf kemudahan grid untuk menangani peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui. 

 

Pengarah Pembangunan Perniagaan Pekat Teknologi Sdn Bhd, Jia-Sheen Sim menyifatkan, syarikatnya sedang memanfaatkan pengembangan agresif Malaysia terhadap program LSS, yang dijangka membawa peluang besar ke pasaran RE.

 

"Dengan LSS5+ membuka bidaan untuk kapasiti tenaga solar gabungan 4GW dan LSS6 yang dijangka dalam masa kurang daripada setahun, industri ini bersedia untuk pembangunan infrastruktur yang lebih lanjut," katanya.

 

Sim berkata, peningkatan capex TNB memastikan kestabilan yang lebih baik dan penyepaduan tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi.

 

"Dengan peningkatan akses kepada grid, ini akan membuka lebih banyak pilihan dan peluang projek LSS untuk semua peserta dalam industri," tambahnya.

 

Sim bagaimanapun berkata, cabaran seperti kekangan sambungan grid dan pembiayaan tetap menjadi faktor utama yang memerlukan perancangan strategik dan kerjasama dengan pihak berkepentingan yang relevan. - DagangNews.com