KUALA LUMPUR 26 Sept - Maybank IB menurunkan unjuran pendapatan FY25 VS Industry Bhd sebanyak 12% kesan tekanan daripada tukaran mata wang asing ke atas jualan dalam dolar Amerika Syarikat (AS).
Firma penyelidikan itu juga meramalkan pertumbuhan lebih perlahan disebabkan cabaran pasaran eksport.
"Kami sentiasa optimistik dan berhati-hati terhadap prospek kumpulan walaupun memotong unjuran pendapatan mereka disebabkan pendedahan kepada pasaran eksport serta tukaran mata wang asing.
"Usaha penyelarasan dan pengembangan kumpulan harus membantu peningkatan margin, sebahagiannya mengimbangi kelemahan hasil.
"Operasi baharunya di Filipina, bersama-sama dengan bakal pelanggan yang ditetapkan pada penghujung 2024 dijangka menyumbang lebih ketara daripada FY26," katanya daam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: VS Industry peroleh tempahan baharu di Filipina dengan jangkaan hasil sebanyak RM1.5 bilion
Maybank IB berkata, pengukuhan ringgit memberi kesan negatif kepada pendapatan VS Industry, menjejaskan kebanyakan jualan dalam denominasi dolar AS.
Katanya, kenaikan 10% dalam ringgit boleh mengurangkan hasil sebanyak 7% hingga 10% (pada asas setahun penuh), yang membawa kepada pemampatan margin.
"Walaupun kos tukaran mata wang asing yang lebih tinggi yang diperoleh lebih awal mungkin diserahkan kepada pelanggannya, impak tiga hingga enam bulan mungkin perlu diserap, kerana pelarasan purata harga jualan (ASP) biasanya dibuat semasa pelancaran model baharu," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.28 sesaham. - DagangNews.com