KUALA LUMPUR 30 Dis - Agensi pengiklanan, McCann Kuala Lumpur mengumumkan pelantikan Tan Kien Eng sebagai Pengerusi Eksekutif, berkuatkuasa Disember 2024.
Pelantikannya menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan agensi untuk memperkukuhkan pasukan kepimpinan dan memperluas portfolio perniagaannya di rantau ini.
Dengan rekod cemerlang dalam industri pengiklanan Malaysia, Kien Eng membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam peranan kepimpinan di agensi-agensi global utama.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai CEO Kumpulan Publicis Groupe, CEO Kumpulan Dentsu Malaysia dan CEO Leo Burnett Malaysia dan Singapura, membawa syarikat-syarikat tersebut ke tahap yang lebih tinggi, memacu pertumbuhan, menghasilkan kempen pemenang anugerah untuk pelbagai pelanggan dan menjadikannya pemimpin pasaran.
Pengalamannya yang mendalam dalam kepimpinan kreatif dan perniagaan strategik, menjadikan beliau antara individu paling berpengaruh dalam industri kreatif Malaysia.
Dalam peranan baharunya di McCann Kuala Lumpur, Kien Eng akan memanfaatkan pengalaman luasnya untuk mempertingkatkan keupayaan agensi dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap pengiklanan yang sangat berdaya saing.
Tumpuannya adalah untuk memacu inovasi, mengetuai inisiatif perniagaan baharu dan membina hubungan yang lebih erat dengan pelanggan bagi menghasilkan lebih banyak rumusan kreatif.
"Saya teruja untuk menyertai McCann Kuala Lumpur ketika agensi melakukan perubahan bagi pertumbuhan terutamanya dalam membangunkan perkongsian strategik dan usaha komersial baharu.
"Agensi ini memiliki legasi luar biasa dalam mencipta karya bertaraf dunia dan saya mahu menyumbang kepada pertumbuhannya. Bersama pasukan berbakat di sini, saya percaya kami dapat meneroka peluang yang lebih jauh," katanya dalam satu kenyataan.
Pelantikan beliau ke dalam pasukan kepimpinan mengukuhkan komitmen agensi untuk memacu inovasi dan memberikan hasil yang cemerlang kepada pelanggan dalam pelbagai industri.
CEO McCann Kuala Lumpur, Sean Sim menyifatkan, pelantikan Kien Eng memainkan peranan penting dalam usaha untuk terus memajukan agensi.
"Kepakaran dan pengiktirafan industri yang dimiliki beliau akan memberikan nilai besar kepada agensi dan pelanggan kami.
"Pelantikan beliau juga menandakan bab baharu bagi McCann Kuala Lumpur ketika agensi ini terus berkembang dan berinovasi untuk masa depan yang lestari," katanya.
McCann Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada McCann Worldgroup, satu daripada agensi pengiklanan dan komunikasi pemasaran terkemuka di dunia.
Dikenali dengan kecemerlangan kreatif dan pendekatan strategiknya, McCann Kuala Lumpur menghasilkan kempen inovatif yang menghubungkan jenama dengan orang ramai dan memacu kejayaan perniagaan. - DagangNews.com