KUALA LUMPUR 21 Okt - Mega Fortris Bhd, pengeluar kunci keselamatan menyasarkan untuk mengumpul RM99.07 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 11 November 2024.
Kumpulan akan mengumpul dana itu menerusi terbitan 147.8 juta saham baharu pada harga 67 sen sesaham.
Berdasarkan modal saham syarikat yang diperbesarkan sebanyak 844,972,480 saham dan harga IPO yang dicadangkan, permodalan pasaran kumpulan adalah kira-kira RM566.13 juta.
Hasil daripada IPO akan memudahkan fasa pengembangan seterusnya perniagaan Mega Fortris.
Kumpulan itu akan memperuntukkan 43.38% daripada hasil untuk membiayai sebahagian penubuhan kemudahan pengeluaran baharu termasuk barisan pengeluaran automatik dan berpusat di United Kingdom (UK).
Sejumlah 45.42% untuk usaha niaga baharu di Macau dan China, di mana Mega Fortris akan menyediakan rumusan menyeluruh untuk membekal dan mengendalikan kotak keselamatan manakala baki hasil akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Adrian Ng Meng Poh berkata, rekod prestasi kupulan menunjukkan kualiti dan penerimaan produk pihaknya dalammemberikan perlindungan kepada keselamatan dan integriti barangan pelanggan kami semasa pengangkutan dan penyimpanan.
Katanya, selama bertahun-tahun, pihaknya telah mencapai banyak perkara penting, termasuk meluaskan kehadiran ke hampir 120 negara di seluruh Asia Pasifik, Eropah, Amerika dan Asia Barat.
"Jangkauan global ini disokong oleh 12 pejabat yang terletak secara strategik di Malaysia, Amerika Syarikat, UK, Denmark, Belanda, Perancis, Hungary, Dubai, Hong Kong, Singapura, Australia dan New Zealand," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya teruja untuk melaksanakan strategi perniagaan termasuk mengembangkan kemudahan pengeluaran di Malaysia, menubuhkan kilang UK baharu untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Eropah, Amerika, Asia Barat dan Afrika selain menceburi perniagaan baharu membekal serta mengendalikan kotak keselamatan di Malaysia dan Macau.
"Kami kekal komited untuk menyediakan produk berkualiti selain kekal berpegang kepada nilai-nilai yang telah mentakrifkan kami sejak hari pertama," katanya.
Sempena pelancaran, tempoh permohonan IPO Mega Fortris akan bermula hari ini dan ditutup pada 28 Oktober 2024 pada pukul 5 petang.
RHB Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama tunggal IPO, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama manakala AmInvestment Bank Bhd berkhidmat sebagai penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama. - DagangNews.com