Membisu bila diminta rekod kewangan punca Mahmud Abu Bekir saman pengurusan Cahya Mata Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Membisu bila diminta rekod kewangan punca Mahmud Abu Bekir saman pengurusan Cahya Mata Sarawak

KUALA LUMPUR 12 Mac - Pertikaian antara Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) dan Timbalan Pengerusinya, Mahmud Abu Bekir Taib menjadi semakin rumit apabila beliau menyangkal dakwaan CMSB berhubung permintaannya untuk memeriksa rekod kewangan syarikat.

 

Mahmud Abu Bekir berkata, penegasan syarikat itu yang beliau telah dimaklumkan dengan sewajarnya tarikh alternatif akan ditetapkan untuk pemeriksaan akaun kewangan syarikat sebagai ‘mengelirukan dan tidak tepat’.

 

Beliau yang juga Pengarah CMSB, berkata beliau mula-mula membuat permintaan rasmi untuk maklumat perakaunan syarikat itu, melalui emel, kepada ketua pegawai kewangannya pada 19 Februari 2025.

 

Selepas gagal menerima maklum balas, dia menyusulinya dengan emel kedua pada hari berikutnya, tetapi syarikat terus berdiam diri mengenai perkara itu, dan kegagalannya untuk meminta lanjutan masa, memaksanya untuk membawa perkara itu kepada setiausaha syarikat secara bertulis pada 27 Februari 2025.

 

Hanya keesokan harinya Pengerusi Kumpulan CMSB, Mohd Zahidi Zainuddin memberi maklum balas.

 

“(Beliau) mengesahkan sebagai pengarah, Mahmud (Abu Bekir) berhak secara sah di bawah Akta Syarikat 2016 untuk memeriksa rekodnya,” kata Mahmud Abu Bekir dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mahmud Abu Bekir fail saman tuntut periksa akaun Cahya Mata Sarawak

 

Bagaimanapun, Mohd Zahidi turut menyatakan, hak itu bukan mutlak, tetapi tertakluk pada peruntukan perlembagaan syarikat.

 

Sebaliknya, Mahmud Abu Bekir berhujah, Perkara 160 dalam perlembagaan syarikat, serta Seksyen 245(4) Akta Syarikat memberi pengarah ‘hak tidak terikat’ untuk memeriksa rekod dan akaunnya.

 

Beliau turut menegaskan, sebagai pengarah syarikat induk, beliau berhak mengawasi dan mendapat akses kepada kewangan anak-anak syarikatnya.

 

Katanya, keengganan CMSB memberikan dokumen kewangan yang dimintanya serta kegagalan untuk meminta lanjutan masa menyebabkan beliau tiada pilihan selain memfailkan saman pemula pada 6 Mac 2025 ‘untuk memperoleh rekod kewangan yang diperlukan’.

 

“Cadangan yang menyatakan saya memberikan notis yang tidak mencukupi untuk syarikat menzahirkan rekod kewangan bukan sahaja mengelirukan tetapi tidak tepat sama sekali.

 

“Selepas usaha berulang kali di pihak saya tidak diendahkan, saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk menegakkan ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

 

Abu Bekir memohon perintah mahkamah untuk memaksa CMSB dan anak syarikatnya – Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, Oiltools International Sdn Bhd, Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd, dan Cahya Mata Professionals Sdn Bhd – mengeluarkan semua rekod perakaunan dan kewangan untuk pemeriksaan dalam tempoh tujuh hari.

 

Beliau juga mahu juruaudit, akauntan, atau peguam bela yang dilantik diberikan salinan rekod "untuk memastikan semakan yang menyeluruh dan bebas".

 

Abu Bekir juga merancang untuk membawa isu itu untuk dibincangkan pada mesyuarat lembaga CMSB pada 7 Mac 2025 tetapi tidak dibenarkan untuk duduk dalam mesyuarat itu.

 

Dia mendakwa perkara itu melanggar haknya sebagai pengarah dan merupakan pelanggaran peraturan tadbir urus korporat.

 

"Saya tetap teguh dalam tugas saya untuk bertindak demi kepentingan terbaik semua pihak berkepentingan, memastikan Cahya Mata beroperasi dengan standard ketelusan dan akauntabiliti tertinggi," tambah Abu Bekir. - DagangNews.com