MGB jalin kerjasama bangunkan tanah seluas 10.5 hektar di Bukit Serdang dengan GDV RM861 juta | DagangNews Skip to main content

MGB jalin kerjasama bangunkan tanah seluas 10.5 hektar di Bukit Serdang dengan GDV RM861 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - MGB Bhd menerusi Prisma Kasturi Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan Talam Transform Bhd dan Kandis Permai Sdn Bhd bagi membangunkan kawasan seluas 10.5 hektar di Bukit Serdang, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan RM861.35 juta.

 

Kumpulan itu berkata, tanah pertama seluas 6.67 hektar akan digunakan untuk projek pembangunan bercampur yang merangkumi lot kedai komersial dan rumah mampu milik di bawah skim Rumah Selangorku.

 

Katanya, tanah kedua yang berkeluasan 3.8 hektar, merupakan tahan rizab Melayu yang ditetapkan dan akan dibangunkan menjadi unit kediaman khusus untuk pemilik rumah Bumiputera.

 

"Kedua-dua bidang tanah terletak di lokasi yang strategik, menyediakan akses yang sangat baik kepada pelbagai kemudahan termasuk sekolah dan universiti, pusat beli-belah, kompleks sukan, hospital dan pengangkutan awam melalui stesen komuter Serdang dan MRT Serdang Raya Utara.

 

"Selain itu, ia dihubungkan dengan baik oleh lebuh raya utama, termasuk Maju Expressway, Lebuhraya KESAS, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Sungai Besi dan Lebuhraya Kuala Lumpur Seremban antara lain.

 

"Lokasi strategik dengan jarak yang berdekatan dengan perbandaran utama Putrajaya, Cyberjaya dan pusat bandar Kuala Lumpur menjadikannya ideal untuk pemilik rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengerusi Eksekutif MGB Group, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata,  menerusi pembangunan itu, pihaknya meggabungkan teknologi konkrit pratuang IBS yang cekap dan menjimatkan kos, memberikan rumah yang berkualiti tinggi dan selesa.

 

Katanya, setiap pembangunan yang berjaya, pihaknyabergerak lebih dekat ke arah mencapai komitmen untuk membina sehingga 10,000 unit Rumah Selangorku.

 

"Dengan buku pesanan pembinaan yang kukuh berjumlah RM1.19 bilion dan jualan pembangunan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM693 juta daripada projek yang sedang dijalankan, di samping penyerahan pemilikan kosong baru-baru ini untuk Idaman BSP, kumpulan itu bersedia untuk kejayaan berterusan dalam separuh kedua tahun ini.

 

"Dengan 19 projek yang sedang berjalan, kami menjangkakan bahawa perkembangan ini akan menjana anggaran pendapatan masa depan sebanyak RM4.02 bilion pada tahun-tahun akan datang," katanya.- DagangNews.com