KUALA LUMPUR 19 Dis - Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) melancarkan Cabang E-Dagangnya, satu langkah untuk menyatukan pihak berkepentingan dalam industri dan memperkukuh ekonomi digital negara.
Jurucakap Cabang E-Dagang MICCI, Hafidzi Razali berkata, inisiatif itu direka untuk memupuk kerjasama dalam kalangan syarikat e-dagang, menangani cabaran bersama dan menyumbang kepada pertumbuhan mampan sektor digital Malaysia.
"Dikenali sebagai Cabang E-Dagang, platform ini menyatukan pemain utama industri, termasuk Shopee, Lazada, Carousell dan Mudah.my sebagai ahli pengasas.
"Cabang ini terbuka kepada semua syarikat e-dagang yang beroperasi di Malaysia, dengan tujuan untuk mewujudkan ekosistem kerjasama yang menyokong pembangunan industri," katanya pada majlis pelancaran di sini, semalam, seperti laporan The Sun.
Hafidzi berkata, tujuan utama ia ditubuhkan adalah untuk berfungsi sebagai platform bagi dialog, perkongsian ilmu dan menjaga kepentingan syarikat e-dagang dalam isu-isu berbangkit.
"Platform ini ditubuhkan untuk mewakili suara perniagaan e-dagang apabila berinteraksi dengan pihak berkepentingan, pembuat dasar dan pengawal selia.
Objektifnya termasuk menangani cabaran bersama, menyumbang kepada perbincangan dasar dan memastikan syarikat dapat memainkan peranan aktif membentuk ekonomi digital Malaysia," ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan menyelaraskan pertumbuhan industri dengan kepentingan pengguna.
"Walaupun cabang ini memberi tumpuan kepada sokongan perniagaan, pengguna akan mendapat manfaat secara tidak langsung melalui perkhidmatan yang lebih baik dan penyelesaian isu bersama.
"Syarikat-syarikat akan menggunakan platform ini untuk membincangkan cabaran seperti ketidakcekapan penghantaran dan kekangan dasar, dengan matlamat untuk menanganinya," tambahnya.
Pengarah Perdagangan Perkhidmatan dan Industri Perdagangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhamad Hanif Asa’ari pula menekankan kepentingan menyesuaikan rangka kerja peraturan Malaysia untuk mengikuti perkembangan pesat teknologi dalam sektor e-dagang.
Beliau berkata, kementerian sedang meneliti undang-undang untuk menangani cabaran dan peluang yang muncul, termasuk Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
"Landskap e-dagang domestik dan global telah berkembang dengan ketara sejak undang-undang ini diperkenalkan. Sebagai contoh, Akta Perdagangan Elektronik yang digubal pada 2006 hampir berusia dua dekad dan perlu disemak semula untuk mencerminkan realiti digital hari ini," katanya.
Hanif menyatakan, beliau turut memberi perhatian kepada peningkatan aduan pengguna berkaitan transaksi dalam talian.
"Pada suku pertama 2024 sahaja, lebih 12,000 aduan direkodkan, memperlihatkan keperluan mendesak perlindungan pengguna yang lebih kukuh dan kaedah penyelesaian yang lebih baik.
"Platform ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar yang menangani isu-isu berkaitan," katanya.
Tambah beliau, Cabang E-Dagang MICCI juga bertujuan untuk membina asas bagi kerjasama tanpa halangan, membolehkan pengawal selia dan perniagaan kekal selari dengan kemajuan teknologi sambil memupuk kepercayaan pengguna. - DagangNews.com