KUALA LUMPUR 4 Okt - MIDF Research kekal positif terhadap sektor perbankan disokong pertumbuhan pinjaman yang teguh selain kualiti aset yang stabil.
Katanya, secara keseluruhan nisbah kemerosotan nilai pinjaman kekal stabil pada 2.6% daripada pinjaman perniagaan.
Firma penyelidikan itu berkata, penunjuk utama pinjaman dengan peningkatan ketara dalam risiko kredit (pinjaman Peringkat 2) juga semakin stabil (Jun 2024: 12.3% daripada pinjaman perniagaan; Disember 2024: 12.4%).
"Tunggakan pinjaman bahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menurun kepada 1.7% daripada jumlah pinjaman PKS (Disember 2023: 2%). Kualiti kredit pinjaman korporat yang lebih besar kekal stabil dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang kukuh.
"Memandang ke hadapan, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan daya tahan perniagaan bertambah baik dalam pada separuh kedua 2024 di tengah-tengah pengembangan berterusan dalam aktiviti ekonomi.
ARTIKEL BERKAITAN: PKS gagal lunas pinjaman perniagaan pada separuh pertama 2024 catat penurunan - BNM
"Tekanan kos dijangka menjadi sederhana sejajar dengan harga komoditi yang lebih rendah dan pengukuhan nilai ringgit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
MIDF Research berkata, kualiti keseluruhan peminjam isi rumah kekal utuh pada separuh pertama 2024 , mencerminkan majoriti peminjam mampu melunaskan bayaran hutang mereka.
"Memandang ke hadapan, keadaan ekonomi dan pasaran tenaga kerja yang menggalakkan serta piawaian pinjaman yang kukuh akan menyokong keupayaan pembayaran balik hutang isi rumah yang mampan.
"Aset kewangan isi umah terus mengatasi hutang sebanyak 2.1x.
"Ini penting kerana ia bermaksud hutang isi rumah dilindungi dengan baik sekiranya berlaku kejutan buruk kepada pendapatan mereka," katanya.- DagangNews.com