MIDF Research positif terhadap langkah EcoWorld Malaysia ambil alih tanah seluas 342.87 hektar di Semenyih | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap langkah EcoWorld Malaysia ambil alih tanah seluas 342.87 hektar di Semenyih

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - MIDF Research positif terhadap langkah Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) mengambil alih tanah seluas 342.87 hektar berharga RM742.2 juta yang terletak di Semenyih.

 

MIDF Research berkata, pemaju hartanah itu merancang menggunakannya untuk pembangunan bercampur baharu yang dipanggil Eco Forest 2, yang dijangka mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4.6 bilion.

 

“Kami melihat pengambilan tanah secara positif kerana ia akan meningkatkan simpanan tanah Eco World di Semenyih. 

 

"Tanah baharu itu bersebelahan dengan perbandaran Eco Forest di Semenyih. Perbandaran itu dilancarkan pada 2017, memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidian itu berkata, perbandaran itu mempunyai simpanan tanah yang belum dibangunkan seluas 55.03 hektar. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: EcoWorld Malaysia ambil alih tanah seluas 342.87 hektar berharga RM742.2 juta di Semenyih

 

Katanya, pengambilalihan itu akan membolehkan EcoWorld Malaysia meningkatkan simpanan tanahnya di Semenyih dan seterusnya menampung permintaan yang semakin meningkat untuk rumah bertanah oleh pembeli rumah kali pertama.

 

“Pembangunan di tanah baharu itu, yang dinamakan Eco Forest 2, mempunyai anggaran GDV sebanyak RM4.6 bilion, ia diterjemahkan kepada nisbah kos tanah kepada GDV sebanyak 16%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan pendapatannya untuk FY24F/25F/26F dan saranan 'neutral' pada harga sasaran (TP) RM1.84 sesaham.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, juga positif terhadap pengambilalhan tanah di Semenyih pada harga yang berpatutan.

 

“Kos tanah RM20.10 bagi sekaki persegi adalah 11% lebih tinggi daripada harga transaksi terakhir RM18 yang dibayar oleh Mah Sing pada Jun 2023 tetapi berada di bawah harga semasa yang diminta iaitu RM25 hingga RM30 untuk sekaki persegi di kawasan Broga.

 

“Lebih penting lagi, bank tanah baharu itu, terletak bersebelahan projek Eco Forst sedia ada, akan meningkatkan simpanan tanah/GDV EcoWorld yang semakin berkurangan,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengambilalihan itu membolehkan Eco World meneruskan kejayaannya di Semenyih, di mana ia telah membina nama jenama dan bahagian pasarannya sejak 2023. - DagangNews.com