MOSTI, Cradle rapatkan jurang ekosistem syarikat pemula dengan penubuhan Startup ASEAN | DagangNews Skip to main content

MOSTI, Cradle rapatkan jurang ekosistem syarikat pemula dengan penubuhan Startup ASEAN

Menteri MOSTI, Chang Lih Kang (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Dis - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensi fokal ekosistem syarikat pemula Malaysia, Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), menubuhkan Startup ASEAN, sebuah platform berdaya cipta yang bertujuan mengangkat negara-negara anggota ASEAN sebagai pemain utama dalam landskap syarikat pemula global.

 

Menjelang peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Cradle diberi mandat untuk mengetuai ASEAN Startup Initiative (ASI) di bawah ASEAN Technology Startup Ignite, yang menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula serantau selaras dengan Priority Economic Deliverables (PEDs) 2025 negara bagi bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

 

Inisiatif itu memfokuskan kepada pemerkasaan dasar mesra syarikat pemula, meningkatkan kesiapsiagaan ekosistem ASEAN serta memacu kerjasama berimpak tinggi di rantau ini.

 

Startup ASEAN adalah sebuah platform yang dicipta khusus oleh pasukan petugas khas daripada sepuluh negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Menteri MOSTI, Chang Lih Kang berkata, Startup ASEAN dicipta untuk menggalakkan dan memudahkan STI dalam ekosistem syarikat pemula ASEAN serta berfungsi sebagai pintu masuk kepada komuniti syarikat pemula ASEAN yang dinamik. 

 

"Melalui inisiatif ini, kami mahu memperkasakan usahawan, menghubungkan pihak yang berdaya cipta dan membina ekosistem yang mampan demi memacu pertumbuhan serta inovasi serantau.

 

"Startup ASEAN bukan sekadar sebuah platform digital, ia adalah bukti komitmen bersama dalam memupuk inovasi, memperkukuh kerjasama dan membina asas utama bagi kemajuan teknologi," katanya dalam satu kenyataan sempena prapelancaran platform berkenaan di Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, sebagai agensi fokal ekosistem syarikat pemula Malaysia, pihaknya berbangga mengetuai Startup ASEAN. 

 

"Platform ini bukan sahaja berfungsi sebagai hab, tetapi juga pemangkin kerjasama dan inovasi serantau untuk mendorong perkembangan syarikat pemula dan memacu pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ini.

 

"Melalui pendekatan berfasa, Cradle akan memperkenalkan program dinamik termasuk hackathon serantau yang menyasarkan sektor seperti kecerdasan buatan (AI), kelestarian dan teknologi iklim," ujarnya. 

 

Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), Satvinder Singh pula menyifatkan, penubuhan Startup ASEAN ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN, merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem serantau yang kini mempunyai lebih 11,000 syarikat pemula dengan nilai keseluruhan RM586.27 bilion. 

 

"Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN dijangka mencecah RM20.10 trilion menjelang tahun 2030, rantau ini kekal sebagai hab inovasi yang dinamik, menawarkan peluang besar kepada syarikat pemula dan pelabur," katanya.

 

Startup ASEAN yang akan dilancarkan secara rasmi pada suku kedua 2025, kini mengundang syarikat pemula dan rakan ekosistem dari seluruh negara ASEAN untuk menyertai platform berkenaan. 

 

Usahawan boleh melayari www.startup-asean.org dan menjadi sebahagian daripada lonjakan inovasi masa hadapan di rantau ini. - DagangNews.com