KUALA LUMPUR 8 Nov - Persatuan Takaful Malaysia (MTA) melancarkan Hijrah27, pelan transformasi strategik memacu pertumbuhan berkesan dan mampan dalam industri takaful Malaysia.
Pelancaran itu menandakan komitmen bersama pengendali takaful ke arah perkembangan dan evolusi industri dengan kerangka yang memperincikan peta jalan untuk pertumbuhan mampan, akses yang lebih luas, inovasi serta nilai sosial yang berimpak tinggi.
Majlis disaksikan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid serta tokoh industri termasuk dari Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dan pihak berkepentingan lain.
Bertemakan Sama Berlindung, Sama Beramal, Sama Berjaya... Takaful Untuk Semua, ia menekankan komitmen kukuh pengendali untuk mengangkat takaful sebagai pilihan perlindungan utama bagi semua rakyat Malaysia sambil memperkukuh kepimpinan negara dalam kewangan patuh syariah.
Bertonggakkan kemajuan selama empat dekad, Hijrah27 memperkukuh fasa seterusnya dalam pertumbuhan industri takaful melalui lapan teras strategik, termasuk inovasi digital dan pengukuhan tadbir urus pengawalseliaan.
Pada dasarnya, rangka kerja berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan pemahaman orang ramai tentang takaful dan meluaskan jangkauan kepada mereka yang tidak mempunyai akses, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme dalam kalangan wakil takaful dan mempromosikan inisiatif yang sejajar dengan aspek persekitaran, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Hijrah27 akan menangani 19 cabaran utama yang merangkumi kesedaran, pengedaran, digital, daya saing produk, bakat dan ESG, yang dikenal pasti melalui penglibatan dengan pihak berkepentingan industri.
Tonggak strategik Hijrah27 disokong oleh faktor kejayaan penting iaitu membina budaya organisasi yang diperkasakan, memastikan penyatuan dan disiplin di seluruh sektor, serta meningkatkan kerjasama rentas industri.
Hijrah27 dilancarkan tidak lama selepas MTA memperkenalkan Kad Skor Maqasid al-Syariah (MSS) pada Oktober 2024.
Tanda ukur yang pertama seumpanya, MSS menggabungkan aspek kualitatif yang memberi tumpuan kepada sokongan inisiatif terhadap komuniti rentan dan memperkukuh inklusiviti untuk mendorong penerimaan takaful yang lebih luas.
Apabila tanda ukur itu bergabung di dalam Hijrah27, ia akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju serta komitmennya dalam memberikan nilai kewangan dan sosial.
Pengerusi MTA, lmie Aman Najas berkata, industri takaful telah berkembang dengan pesat dalam tempoh empat dekad, bermula dari penetapan prinsip-prinsip dan rangka kerja asas hingga perluasan kehadirannya di pasaran dan penaiktarafan struktur tadbir urus.
Katanya, peningkatan kadar penembusan juga menggalakkan dengan lonjakan kepada 20% berbanding 15%, mencerminkan penerimaan takaful yang semakin meningkat.
"Dalam tempoh 10 tahun sahaja, aset takaful telah meningkat lebih dua kali ganda kepada RM55.6 bilion berbanding RM23 bilion pada 2014.
“Memandang ke hadapan, kami mahu menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan dapat memberi impak," katanya.
Hijrah27 meneruskan kejayaan Pelan Pembaharuan MTA 2022-2023 yang dikenali sebagai ISLAH23, dan menyelaraskan misi MTA dengan matlamat visi Pelan Induk Sektor Kewangan 2026 serta rangka kerja industri Perantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT). - DagangNews.com