KUALA LUMPUR 25 Sept - Harga biji kopi robusta pada bulan ini meningkat 98.2% manakala arabica naik 62.8% berbanding yang direkodkan pada September 2023.
Menurut MIDF Research, data terkini menunjukkan kedua-dua komoditi itu terus berada dalam trend peningkatan dengan robusta menjadi AS$4,589/tan dan arabica AS$5,026/tan.
Selain dua jenis biji kopi itu, harga koko dunia juga mencatatkan peningkatan 62.6% pada bulan ini berbanding setahun lalu menjadi AS$5,827/tan.
Menurut firma penyelidikan itu, walaupun harga koko lebih tinggi, pengeluar makanan dengan jenama yang kuat seperti Nestle lebih mampu mengurus tekanan kos.
"Permintaan yang berterusan terhadap produk berkaitan koko, ditambah dengan kuasa penentuan harga, membolehkan mereka memindahkan kos input yang lebih tinggi kepada pengguna tanpa memberi kesan ketara terhadap permintaan.
"Oleh itu, walaupun kos bahan mentah mungkin turun naik, syarikat-syarikat ini dijangka mengekalkan keuntungan melalui penetapan harga strategik dan ketahanan jenama," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kopi cecah harga paling mahal dalam 13 tahun: Barangan keperluan atau sudah menjadi kemewahan?
Tambah MIDF Research, walaupun komoditi utama seperti koko, arabica, dan robusta terus melihat trend peningkatan harga pada September 2024, komoditi penting lain seperti gandum, gula, dan resin PET telah mengalami penurunan harga masing-masing kira-kira -5% tahun ke tahun, -24% tahun ke tahun, dan -9% tahun ke tahun (YoY).
"Normalisasi dalam harga komoditi global ini dijangka secara beransur-ansur mengurangkan kos bahan mentah, sekaligus menyokong margin keuntungan bagi pengeluar.
"Syarikat seperti Hup Seng Industries (NEUTRAL, TP: RM1.04) dan Nestle Malaysia (NEUTRAL, TP: RM126.00) berada dalam posisi baik untuk mengambil manfaat daripada trend ini," jelasnya.
Sementara itu, kata MIDF Research, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS mengurangkan kos bahan mentah bagi pengeluar barangan keperluan, tetapi mungkin memberi kesan negatif kepada pengeksport.
"Penyelidikan ekonomi kami meramalkan ringgit akan mencecah purata RM4.15 berbanding dolar AS pada 2025, memberikan penampan terhadap harga komoditi yang tinggi.
"Ini terutama memberi manfaat kepada syarikat makanan dan minuman (F&B) serta syarikat penternakan ayam yang mendapatkan input dalam dolar AS, kerana mata wang yang lebih kuat membantu mengurangkan kos.
"Syarikat seperti Hup Seng (NEUTRAL, TP: RM1.04), Spritzer (NEUTRAL, TP: RM2.78), dan Leong Hup International (BUY, TP: RM0.80) dijangka mendapat manfaat daripada jualan tempatan yang lebih kuat dan import bahan mentah, pembungkusan, dan mesin yang lebih murah, yang mungkin meningkatkan margin keuntungan," ujarnya.
Katanya, Nestle Malaysia juga berada dalam posisi baik, memandangkan 80% daripada jualannya adalah domestik walaupun mengimport kebanyakan bahan mentahnya dalam dolar AS.
"Setiap penyusutan 5% dolar AS dianggarkan dapat meningkatkan pendapatan Nestle sebanyak 1%," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com