KUALA LUMPUR 28 Mei - Selepas Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi, Nik Nazmi Nik Ahmad mengikuti langkah itu dan meletakkan jawatan daripada Kabinet sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
“Saya telah mengemukakan peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, berkuat kuasa 4 Julai.
“Saya akan mula bercuti mulai esok (29 Mei) hingga 3 Julai,” kata Nik Nazmi dalam catatan Instagram hari ini.
Nik Nazmi berkata jawatannya sebelum ini sebagai Naib Presiden PKR adalah antara punca beliau dilantik sebagai menteri dan sejak kehilangan jawatannya dalam pemilihan parti baru-baru ini, beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.
“Saya sedang menunggu peluang untuk kembali berkhidmat sebagai ahli parlimen dan fokus di kawasan saya di Setiawangsa.
“Memetik mendiang Ahli Parlimen Britain Tony Benn ‘Saya meninggalkan Kabinet untuk memberi lebih tumpuan kepada politik dan perkhidmatan awam’,” kata Nik Nazmi.
Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan naib presiden PKR dalam pertandingan 11 penjuru hujung minggu lalu.
Nik Nazmi berkata sejak dilantik sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022, dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar pada Disember 2023, beliau telah melakukan yang terbaik untuk melakukan pembaharuan yang diperlukan dengan perkhidmatan awam.
“Kejayaan kedua-dua kementerian termasuk pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, serta penambahbaikan dalam ketelusan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
“Malaysia juga antara negara yang membentangkan Strategi dan Pelan Tindakan Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP) untuk membendung kemusnahan alam sekitar dan penebangan hutan, yang diiktiraf oleh setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres.”
Terdahulu hari ini, Rafizi juga meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun.
Rafizi dikalahkan oleh Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti. - DagangNews.com








