ABU DHABI 15 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak telah diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuan beliau dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, tidak ada kemusykilan dalam perkara-perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan negeri Sarawak dan Petros.
"Tetapi kita (Kerajaan Persekutuan) terima juga kenyataan Petros diwujudkan untuk beri peluang kepada Sarawak untuk meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak,” kata beliau kepada kalangan wartawan Malaysia pada sidang media di akhir lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini, pada Selasa.
Anwar berkata, Ordinan Pengagihan Gas 2016 Sarawak tidak akan menggantikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Persekutuan yang lain, justeru, kedudukan Petronas kekal tidak terjejas.
ARTIKEL BERKAITAN: Belanja modal Petronas dipotong tidak lebih RM10 bilion selepas perjanjian gas Petros diselesaikan - Kenanga
Beliau tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja tiga hari ke UAE, antara lain bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di sini serta meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-duanya.
Ia merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023, dan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025. - DagangNews.com