KUALA LUMPUR 23 Dis - Pan Malaysia Corp Bhd (PMC) sedang merangka pelan untuk tahun 2025 dengan fokus untuk mengembangkan francais A&W selepas memperoleh baki 49% pegangan daripada Inter Mark Resources Sdn Bhd dalam transaksi pihak berkaitan bernilai RM69.45 juta melalui gabungan RM41.67 juta dalam bentuk tunai dan penerbitan 111.13 juta saham baru PMC pada harga 25 sen setiap saham pada April 2024.
Fokus PMC beralih kepada industri makanan segera selepas memperoleh 51% pegangan dalam francais tersebut yang bernilai RM21.04 juta pada 2021.
Syarikat itu sebelum ini terlibat dalam pembuatan, eksport dan pengedaran produk coklat serta gula-gula.
Pengarah Eksekutif PMC dan Ketua Pegawai Eksekutif A&W, George Ang berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada peluasan operasi, digitalisasi dan inovasi pada tahun depan.
"Pada masa ini, kami mempunyai sekitar 100 cawangan di Semenanjung Malaysia dan empat di Sabah.
"Kami berhasrat membuka 12 cawangan baharu pada 2025 di pasaran yang belum diterokai di Sarawak dan Brunei, dengan dua hingga tiga cawangan dirancang di Kuching menjelang 2026," katanya seperti laporan StarBiz, semalam.
Jelas beliau, selain itu, PMC juga menyasarkan lokasi dengan trafik pelanggan yang tinggi seperti lapangan terbang dan taman tema, dengan menekankan jumlah pelanggan yang kuat dan jualan purata restoran (ARS) yang tinggi di kawasan berkenaan.
"Ada sekitar lapan hingga 10 lapangan terbang yang berpotensi menjadi lokasi baharu cawangan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," ujarnya.
Di bidang digital, PMC sedang mempertingkatkan usaha untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh dengan menaik taraf aplikasi mudah alih dalaman A&W Ordering App, dan memasang kiosk digital di semua cawangan menjelang akhir 2024.
Setakat ini, sekitar 30% cawangan A&W telah dilengkapi dengan kiosk digital.
Ang berkata, penggunaan kiosk digital dilakukan melalui model langganan perkhidmatan, di mana syarikat membayar kira-kira RM448.82 bagi setiap kiosk sebulan.
"Kami tidak membayar secara sekali gus, jadi ia tidak memberi kesan langsung kepada pendapatan kami," katanya.
Sebagai respons kepada perubahan tabiat pengguna, syarikat turut merancang untuk menukar beberapa cawangan kepada format 24 jam dan pandu lalu.
Menjelang 2025, sebanyak 20 cawangan akan beroperasi 24 jam dengan 12 menawarkan perkhidmatan pandu lalu.
Beliau berkata, cawangan beroperasi 24 jam menyumbang 25% kepada jualan A&W.
Ang juga memberi petunjuk mengenai kemungkinan penggabungan dan pengambilalihan yang mungkin diumumkan pada 2025.
"Kami kini sedang berbincang dengan beberapa jenama terkenal, baik tempatan mahupun antarabangsa. Kami mungkin akan mengumumkannya tahun depan," tambahnya.
Walaupun pasaran makanan segera Malaysia sangat kompetitif, dengan lebih 2,000 cawangan di seluruh negara, Ang yakin dengan daya tarikan berterusan A&W.
"Restoran datang dan pergi. Lima tahun yang lalu, pasaran sudah kompetitif, tetapi hari ini ia lebih kompetitif. Kelebihan A&W adalah ia telah beroperasi lebih 60 tahun dan kami masih di sini," jelasnya.
Ang mengaitkan ketahanan jenama itu dengan kesedaran yang kukuh di peringkat tempatan dan perubahan tabiat pengguna.
Mengenai isu boikot pengguna yang memberi kesan kepada banyak gergasi makanan segera di Malaysia seperti KFC dan McDonald’s, Ang berkata reaksi terhadap A&W adalah neutral.
"Kami tidak melihat penurunan dalam jualan, tetapi kami juga tidak melihat peningkatan yang besar.
"Saya rasa kami tidak melihat peningkatan jualan yang besar kerana inflasi. Orang ramai kini lebih berjimat cermat," katanya yang mengaitkan keadaan tersebut dengan inflasi.
Beliau menyatakan, bilangan pengunjung adalah konsisten, namun jumlah barangan setiap pesanan sedikit menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ang turut berkongsi bahawa A&W akan menutup secara rasmi cawangan pandu lalu tertua mereka di Petaling Jaya, Selangor, susulan rancangan pemaju tanah untuk membina sebuah hotel di tapak berkenaan.
Cawangan itu pada mulanya dijadual tutup pada 2020, namun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19. - DagangNews.com