Pansar raih kontrak RM477 juta bina jalan baharu Lebuhraya Serian-Gedong-Samarahan | DagangNews Skip to main content

Pansar raih kontrak RM477 juta bina jalan baharu Lebuhraya Serian-Gedong-Samarahan

Gambar hiasan dari laman web rasmi Pansar
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Jan - Pansar Bhd memperoleh kontrak bernilai RM477 juta daripada Jabatan Kerja Raya Sarawak bagi membina Lebuhraya Dua Laluan Serian-Gedong-Samarahan, bahagian 1B iaitu jalan baharu dari Simpang Tanah Puteh ke Tanah Genting Gedong. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, surat anugerah (LoA) diraih oleh anak syarikat milik penuhnya, Perbena Emas Sdn Bhd melalui tender jemputan. 

 

"Skop kerja melibatkan pembinaan 8.5 kilometer jalan baharu empat lorong JKR R5 (dua laluan) termasuk dua jambatan, trek basikal, koridor utiliti, lampu jalan dan papan tanda.

 

"Tempoh kontrak tersebut adalah selama 36 bulan dan dijadualkan bermula pada Februari 2025," katanya.

 

Pansar berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan apabila Projek berjalan dalam tempoh kontrak.

 

"Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Pansar atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak tersebut," ujarnya - DagangNews.com