KUALA LUMPUR 1 Nov - Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB), ahli Kumpulan MMC, menjual kira-kira 6.09 hektar tanah perindustrian yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Bandar Lapangan Terbang Senai, Johor kepada Chenbro Micom Co Ltd yang berpangkalan di Taiwan.
SACSB, yang merupakan pemaju induk Bandaraya Lapangan Terbang Senai seluas 1099.93 hektar, telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan unit milik penuh Chenbro Micom, Chenbro Malaysia Sdn Bhd.
Katanya, butiran transaksi itu belum didedahkan.
Chenbro Micom ialah syarikat perintis dalam reka bentuk dan pembuatan penyelesaian bersepadu kepada pelayan rackmount dan menara serta casis komputer peribadi.
Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong berkata, keputusan pelaburan Chenbro adalah bukti keupayaan Senai Airport City yang bakal mengukuhkan pangkalan pembuatan global mereka di rantau Asia Tenggara.
"Bandar Lapangan Terbang Senai adalah rumah kepada banyak pelabur langsung asing (FDI) dan pelabur langsung domestik (DDI) yang telah menubuhkan kemudahan pembuatan berteknologi tinggi mereka.
"Ia juga merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan serta pusat pengedaran serantau yang memenuhi pasaran global.
"Di samping itu, ia juga dapat memanfaatkan peluang sinergi dalam kalangan kemudahan di pelabuhan-pelabuhan Kumpulan MMC iaitu PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas) dan Pelabuhan Johor," katanya, dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Chenbro Micom, Maggi Chen berkata, syarikat akan terus aktif mencipta pengeluaran tempatan secara global dengan keupayaan teknologi rendah dan kemudahan hijau karbon rendah bagi memenuhi permintaan yang meningkat dalam industri kecerdasan buatan (AI).
“Saya berterima kasih kepada sokongan kerajaan dan profesionalisme SACSB dengan taman perindustrian yang terancang, infrastruktur sedia ada dan rakan kongsi serta pemegang berkepentingan kami,” kata Chen.
Sehingga kini, SACSB telah membangunkan Fasa 1 dan 2 bandar lapangan terbang itu, berjumlah kira-kira 607 hektar pembangunan perindustrian.
Ia juga bersedia untuk melancarkan Fasa 3 kira-kira 141.63 hektar pada 2025 dengan rundingan peringkat akhir dengan pihak FDI bernilai tinggi. - DagangNews.com