KUALA LUMPUR 18 Dis - Persatuan Senior Kewangan Islam (ARIF) memuji inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghapuskan kaedah kadar keuntungan rata bagi pembiayaan peribadi, termasuk skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL).
Katanya, langkah tegas tersebut selaras dengan prinsip Maqasid Syariah, yang menekankan keadilan, ketelusan dan perlindungan kesejahteraan masyarakat.
Presiden ARIF, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, menyambut baik tindakan BNM yang menunjukkan komitmen kukuh terhadap transformasi amalan kewangan ke arah prinsip yang adil dan beretika.
"Ini adalah detik penting dalam landskap kewangan Malaysia. Dengan menangani kelemahan kadar keuntungan rata dan memberi keutamaan kepada keadilan, BNM bukan sahaja menggalakkan pembiayaan yang bertanggungjawab tetapi juga mengarahkan institusi kewangan ke arah amalan yang mencerminkan nilai sebenar kewangan Islam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Persatuan itu berkata, kaedah kadar rata yang sering dikritik kerana kekurangan ketelusan, membebankan pelanggan dengan kos yang tidak seimbang.
ARIF percaya penghapusannya akan membuka jalan bagi instrumen kewangan yang mematuhi nilai keadilan dan kesejahteraan masyarakat.
"Kami menyokog penghapusan kadar keuntungan rata dengan kaedah peraturan 78, yang sering menindas pelanggan dan keperluan penyedia perkhidmatan kewangan (FSP) untuk menilai kemampuan pelanggan melunaskan hutang bagi memastikan ketelusan dan mengurangkan beban kewangan.
"Selain itu, kami juga mengiktiraf jenis-jenis pembiayaan rumah tertentu sebagai pembiayaan peribadi adalah sejajar dengan prinsip ketelusan dalam pengaturan kontrak.
"Di samping itu, cadangan untuk mengurangkan tempoh maksimum pembiayaan peribadi daripada 10 tahun kepada tujuh tahun sebagai langkah ke arah pembiayaan bertanggungjawab dan sejajar dengan amalan terbaik global dan ia seharusnya dilakukan secara berperingkat.
"Kami juga menyokong tindakan transformatif seperti yang dicadangkan oleh BNM bagi menangani hutang isi rumah yang tinggi serta sumbangan ketara pembiayaan peribadi kepada kes muflis," kata ARIF.
ARTIKEL BERKAITAN : BNM cadang mansuhkan peraturan kadar rata ke atas produk pembiayaan peribadi supaya pembayar awal tidak dikenakan penalti
Sementara tu, Mohd Redza menekankan reformasi itu mencerminkan inti pati keadilan, yang mendorong sistem kewangan ke arah amalan kewangan beretika yang mengutamakan manfaat masyarakat berbanding dengan pengoptimuman keuntungan.
"Dengan membina ekosistem kewangan yang berlandaskan keadilan dan kemampanan, Malaysia dapat menjadi peneraju dalam mencapai Maqasid Syariah, mempromosikan kemakmuran masyarakat, dan memastikan kesejahteraan generasi akan dating," katanya. - DagangNews.com