Pendapatan BP Plastics bagi FY25-FY26 diunjur susut 12% kesan kelemahan permintaan produk pembungkusan industri - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Pendapatan BP Plastics bagi FY25-FY26 diunjur susut 12% kesan kelemahan permintaan produk pembungkusan industri - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Public Investment Bank (PublicInvest) menurunkan unjuran pendapatan BP Plastics Holdings Bhd bagi FY25-FY26 sebanyak 12% kesan permintaan lemah untuk produk pembungkusan industri .

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan prospek jangka pendek yang mencabar disebabkan kelembapan ekonomi global, kos operasi yang lebih tinggi serta ketidakseimbangan bekalan.

 

Katanya, pendapatan kumpulan itu juga dilihat akan terus terjejas dengan pengenalan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja asing dan semakan gaji minimum baharu menerusi Belanjawan 2025.

 

"Ketika ini kos buruh mewakili kira-kira 5% daripada jumlah kos pengeluaran kumpulan.

 

"Kami menganggarkan semakan gaji minimum baharu, bersama-sama dengan pengenalan caruman mandatori KWSP pekerja asing yang diumumkan baru-baru ini akan memberi kesan kepada kira-kira 2% daripada keuntungan bersih tahunan kumpulan bagi FY25-FY26," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kestabilan ekonomi namun ia menjejaskan daya saing eksport kumpulan.

 

Katanya, memandangkan produk eksport kumpulan adalah dalam dolar AS dan pengukuhan ringgit akan menjadikan pendapatan kumpulan lebih rendah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.43 sesaham," katanya.- DagangNews.com