Pendapatan Eco World Development dijangka kukuh dipacu projek kediaman dan perindustrian baharu - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Eco World Development dijangka kukuh dipacu projek kediaman dan perindustrian baharu - penganalisis

Gambar hiasan dari laman web rasmi Eco World Development
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - MIDF Research berpendapat hasil Eco World Development Group Bhd akan terus disokong oleh projek kediaman dan perindustrian baharu pada masa hadapan berikutan kerjasama dengan SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) dan NS Corporation (NS Corp). 

 

Pada Rabu, Eco World Development Group, SD Guthrie dan NS Corp memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) untuk sama-sama membangunkan taman perindustrian seluas 472 hektar di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

 

Nilai pembangunan kasar (GDV) taman perindustrian tersebut dianggarkan pada RM2.95 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berkata, MoU tersebut akan mengembangkan portfolio pembangunan hartanah perindustrian Eco World Development.

 

"Kami tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan kami untuk FY25 sehingga FY27 sementara menunggu perkembangan lanjut kumpulan itu dalam MoU itu terutamanya pegangan  Eco World Development dalam taman perindustrian itu. 

 

"Sementara itu, penggearan bersih Eco World Development adalah sihat pada 0.19x setakat 4QFY24, menjadikan Eco World Development berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan bank tanah," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Katanya, walaupun unjuran pendapatan Eco World Development dijangka kekal stabil, MIDF Research berpendapat prospek positif kumpulan didorong oleh hasil dagangan Eco World Development melebihi NTA terkini iaitu sebanyak RM1.66 sesaham.

 

Oleh itu, MIDF Research mengekalkan saranan "neutral" terhadap Eco World Development dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.01.

 

Di samping itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif mengenai jalinan kerjasama itu.

 

Katanya, perkongsian strategik tersebut akan memanfaatkan kekuatan unik kedua-dua Eco World Development dan SD Guthrie, memacu pertumbuhan bersama dan penciptaan nilai jangka panjang.

 

“Pada pandangan kami, perkongsian itu bukan sahaja membantu Eco World Development meluaskan kehadirannya dalam segmen hartanah perindustrian di Negeri Sembilan tetapi yang lebih penting, ia mungkin membuka jalan kepada peluang kerjasama masa depan dengan SDG.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan "beli" ke atas Eco World Development dengan harga sasaran (TP) RM1.99 sesaham," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga menyatakan beberapa faktor risiko kepada anggaran, TP dan penarafan ke atas Eco World Development termasuk kelembapan berterusan dalam sektor hartanah, margin operasi yang lebih lemah daripada jangkaan perbelanjaan pemasaran dan harga bahan binaan yang lebih tinggi. - DagangNews.com