Pendapatan MPI diunjur terjejas kesan pengukuhan nilai ringgit, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MPI diunjur terjejas kesan pengukuhan nilai ringgit, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - RHB Investment mengunjurkan pendapatan Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) terjejas kesan daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Katanya, jualan kumpulan itu adalah dalam dolar AS tetapi akan dilindungi nilai sebahagiannya oleh pembelian yang biasanya membentuk antara 40% hingga 50% kos barangan yang dijual.  

 

Firma penyelidikan itu berkata, susut nilai tukaran wang asing sebanyak 1% boleh mengakibatkan penyusutan sehingga 3% bagi keuntungan kumpulan.

 

"Bagaimanapun, pemampatan margin yang berpunca daripada pergerakan tukaran mata wang asing boleh disalurkan kepada pelanggan melalui rundingan semula, sebut harga yang disemak dan kecekapan kejuruteraan dan proses.

 

"Kami mengambil kira pengukuhan nilai ringgit dengan andaian tukaran mata wang asing sebanyak 4.10, 4.20 dan 4.20 daripada 4.30, 4.30 dan 4.30 sebelum ini, menyebabkan semakan pendapatan menurun sebanyak 14%, 7% dan 4% untuk FY25 hingga FY27," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, pihak pengurusan bagaimanapun menjangkakan prospek yang lebih kukuh pada FY25 didorong pemulihan sektor semikonduktor.

 

Katanya, segmen automotif dijangka meningkat di China, mengimbangi kelemahan dari bahagian Ipoh, tetapi segmen perindustrian dijangka terus berkembang.

 

"Elektronik pengguna juga akan menunjukkan peningkatan, dengan inventori kini berada pada tahap yang sihat.

 

"Selain itu, pertumbuhan struktur dalam pembungkusan SiC dan galium nitrida atau GaN akan terus memacu pelan hala tuju pertumbuhan jangka panjang kumpulan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengna harga sasaran (TP) RM38.50 sesaham.- DagangNews.com