Pengaruh diplomatik Malaysia melonjak, menduduki tempat ke-5 dalam Laporan Indeks Kuasa Asia | DagangNews Skip to main content

Pengaruh diplomatik Malaysia melonjak, menduduki tempat ke-5 dalam Laporan Indeks Kuasa Asia

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 15 Okt - Malaysia adalah satu daripada dua negara yang menyaksikan peningkatan terbesar dalam pengaruh diplomatik, menurut Laporan Penemuan Utama Lowy Institute 2024.

 

Laporan Indeks Kuasa Asia edisi 2024 menyatakan Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 9.1 mata peratusan, di belakang Filipina yang mencatatkan peningkatan sebanyak 12.1 mata peratusan.

 

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim juga jauh lebih aktif di peringkat antarabangsa.

 

“Kedua-duanya (Malaysia dan Filipina) diketuai oleh pemimpin baharu dan aktif secara diplomatik,” menurut laporan itu.

 

“Bersama-sama dengan menteri luar, Anwar mengadakan 72 pertemuan dua hala dengan negara-negara dalam Indeks, meningkatkan kedudukan Malaysia daripada ke-11 kepada ke-5 dalam penunjuk aktiviti diplomatik ini,” tambahnya.

 

 

Lowy Institute's Key Findings Report 2024

 

 

Menurut laporan itu, kedudukan Malaysia untuk kepimpinan serantau meningkat dua anak tangga kepada ke-12, dan kepimpinan global naik satu tempat kepada ke-15.

 

Indeks Kuasa Asia tahunan, yang dilancarkan oleh Institut Lowy pada 2018, mengukur sumber dan pengaruh untuk menentukan kedudukan kuasa relatif negara di Asia. Projek ini memetakan pengagihan kuasa sedia ada dan menjejaki peralihan dalam imbangan kuasa dari semasa ke semasa.

 

Indeks itu menyenaraikan 27 negara dan wilayah dari segi keupayaan mereka untuk membentuk persekitaran luaran mereka. Skopnya menjangkau sejauh barat seperti Pakistan, sejauh utara Rusia, dan sejauh ke Pasifik seperti Australia, New Zealand, dan Amerika Syarikat.

 

Edisi 2024 adalah penilaian paling komprehensif mengenai perubahan pengagihan kuasa di Asia setakat ini. Ia juga termasuk Timor-Leste buat pertama kali, mencerminkan kepentingannya yang semakin meningkat berikutan kemungkinan penyertaannya dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) pada tahun-tahun akan datang.

 

Indeks Kuasa Asia Lowy Institute terdiri daripada lapan ukuran kuasa, 30 sub-ukuran tematik dan 131 penunjuk. Lebih separuh daripada penunjuk ini melibatkan penyelidikan asal Lowy Institute, manakala selebihnya diambil daripada ratusan sumber nasional dan antarabangsa yang boleh diakses secara umum. - DagangNews.com