Peningkatan kadar penghunian bagi portfolio sedia ada dijangka pacu pertumbuhan pendapatan CapitaLand, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kadar penghunian bagi portfolio sedia ada dijangka pacu pertumbuhan pendapatan CapitaLand, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan pertumbuhan pendapatan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) terus didorong peningkatan kadar penghunian yang lebih baik untuk portfolio sedia ada. 

 

Katanya, pada 3QFY24, CLMT telah membiayai semula dan melanjutkan tempoh beberapa pinjaman sedia ada yang matang antara 2026 dan 2028, sehingga melebihi 2031.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia dijangka memberikan sedikit penjimatan kos faedah sekitar RM2.5 juta setahun.

 

"Sementara itu, kerja-kerja penyusunan semula aset sedang dijalankan di Gurney Plaza dan satu lagi sedang dirancang untuk 3 Damansara, dengan jumlah anggaran kos sebanyak RM6.4 juta  untuk dibelanjakan pada FY25.

 

"Penyewa tunggal di Hab Logistik Valdor telah memperbaharui pajakannya pada kadar sewa yang lebih tinggi dan dengan kawasan pajakan yang diperluaskan (sebanyak +3% daripada jumlah keluasan Hab Logistik Valdor)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras 3QFY24 sebanyak RM30.2 juta menjadikan keuntungan pada 9MFY24 kepada RM97.2 juta. 

 

Pertumbuhan pendapatan itu disokong pengembalian sewa runcit yang positif, peningkatan kadar penghunian portfolio kepada 92.9% tetapi sebahagiannya diimbangi perbelanjaan operasi hartanah yang lebih tinggi disebabkan oleh kos tenaga kerja yang lebih tinggi.

 

Metrik operasi 3QFY24 kelihatan positif dengan kehadiran pembeli di kedai yang sama dan jualan penyewa setiap kaki persegi meningkat +2.4% dan +3.0% dari tahun ke tahun.

 

Maybank IB berkata, ramalan pendapatan bagi FY24 hingga FY26 kekal tidak berubah kerana menjangkakan pendapatan teras setiap unit (EPU) sebanyak 22.4% pada FY24 terutamnya daripada sumbangan setahun penuh daripada Queensbay Mall selepas aset itu diperoleh pada 21 Mac 2023.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 73 sen sesaham.- DagangNews.com