"Perbincangan Petros, Petronas memasuki masa kecederaan", kata Menteri Utiliti Sarawak | DagangNews Skip to main content

"Perbincangan Petros, Petronas memasuki masa kecederaan", kata Menteri Utiliti Sarawak

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Nov - Kerajaan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros), masih dalam rundingan teknikal bersama Petroliam Nasional Bd (Petronas) bagi memastikan pematuhan semua keperluan di bawah Ordinan Pengagihan Gas, 2016.

 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, pelantikan Petros sebagai pengagregat gas tunggal di bawah ordinan  tersebut bukan sebahagian daripada perbincangan.

 

“Pelantikan Petros tidak boleh dirunding, bermakna tiada agregator gas lain wujud di Sarawak,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan pada sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

 

Beliau menasihatkan Petronas membuat keputusan kerana syarikat itu telah diberi masa yang cukup untuk membuat keputusan bagi mematuhi semua keperluan di bawah ordinan tersebut.

 

"Sekarang saya boleh katakan kami berada dalam masa kecederaan,” tegasnya.

 

 

 

 

Julaihi berkata, beliau telah menerima surat daripada Petronas bertarikh 1 November 2024 dan Petros pada 6 November 2024. 

 

Bagaimanapun, beliau tidak akan mendedahkan kandungan dua surat itu.

 

Katanya, sebagai pengagregat gas tunggal, Petros bertanggungjawab menjalankan semua aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan, pengedaran, dan penjualan gas asli di Sarawak.

 

ARTIKEL BERKAITAN:Rundingan Petronas-Petros dipercayai gagal, Putrajaya mungkin perlu campur tangan

 

"DGO yang dipinda pada 2023 adalah undang-undang negeri Sarawak yang bertujuan untuk memastikan semua pihak termasuk Petronas mematuhi keperluan pelesenan.

 

"Setakat hari ini kementeriannya telah mengeluarkan lesen gas runcit kepada 13 pemain gas huluan dan 10 pemain gas hiliran.

 

"Kegagalan untuk mematuhi keperluan pelesenan adalah satu kesalahan di bawah seksyen 20 Ordinan," katanya.

 

 

 

 

Dalam pada itu, beliau mengulaskan faedah pelantikan Petros sebagai pengagregat gas tunggal, termasuk menyumbang sumber pendapatan baharu untuk Sarawak, mengutamakan pembangunan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) dan menjana peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi.- DagangNews.com