Persatuan peruncit rayu kerajaan nilai semula pelaksanaan akta kawalan produk rokok | DagangNews Skip to main content

Persatuan peruncit rayu kerajaan nilai semula pelaksanaan akta kawalan produk rokok

Sidang media Persatuan Pemilik Am Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) di Kuala Lumpur
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Persatuan Pemilik Am Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) merayu kepada kerajaan untuk menimbangkan semula Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) yang bakal membawa kesan buruk dan memudaratkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad  pada Selasa, akta yang akan berkuatkuasa pada 1 Oktober 2024 itu akan melaksanakan peraturan komprehensif termasuk pendaftaran, jualan, pembungkusan, pelabelan dan pengiklanan produk rokok. 

 

Presiden MSCSPGA, Wong Teu Hoon semasa sidang sedia di Kuala Lumpur hari ini berkata, tiada penjelasan lanjut tentang Akta 852 dan ini merupakan kebimbangan mendesak bagi ramai pemilik perniagaan tempatan terutamanya PKS. 

 

“Baru-baru ini, kerajaan memanggil untuk berjumpa dengan kedai serbaneka dan pemilik kedai vape, tetapi kami sebagai pihak berkepentingan telah diketepikan.

 

“Jika kita faham dengan betul, kita diberi masa kurang daripada tujuh hari untuk mematuhi akta itu. 

 

“Kami tidak menerima arahan atau notis dikeluarkan daripada kerajaan berkenaan dengan penguatkuasaan Akta 852,” ulas beliau.

 

Beliau berkata, sektor PKS telah menyumbang hampir 36%  kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

 

Wong yang mewakili MSCSPGA yang melibatkan kira-kira 20,000 ahli pengusaha kedai kopi di Malaysia menekankan implikasi akta tersebut terutamanya dalam perbelajaan kos pematuhan yang boleh mencecah pada harga RM620 juta pada tahun pertama, dengan tambahan RM277 juta setiap tahun selepas itu. 

 

“Tinjaun kos pematuhan itu melibatkan pengubahsuaian premis, perubahan susun atur, pemasangan unit penyimpanan dan paparan yang mematuhi peraturan, serta kemas kini papan tandi untuk memenuhi keperluan pembungkusan dan pelabelan baharu.

 

“Selain itu, perniagaan perlu melatih semula ahli kakitangan baharu untuk mematuhi akta itu,” ujar beliau. 


Sementara itu, Wong menegaskan pendekatan baharu perlu diperkenalkan bagi menangani isu tersebut memandangakan penjualan rokok sah di kedai kopi menyumbang kira-kira 20% daripada jumlah pendapatan ahli persatuan itu.- DagangNews.com