KUALA LUMPUR 18 Dis - MIDF Research menjangkakan pertumbuhan keseluruhan yang lebih kukuh bagi sektor teknologi pada 2026 didorong oleh peningkatan permintaan untuk pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) dan pelaburan China yang berterusan.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor tersebut mencatat kelembapan dalam segmen pemasangan dan pembungkusan pada 2025, seperti yang diunjurkan oleh SEMI, tetapi meramalkan keadaan akan kembali pulih pada 2026 dibantu oleh peningkatan jualan peralatan pembuatan semikonduktor.
Katanya, SEMI menjangkakan jualan global peralatan pembuatan semikonduktor akan terus berkembang tahun ke tahun (YoY) sebanyak 7.7% pada 2025 dan 14.8% pada 2026.
Sementara itu, penjualan peralatan fab wafer akan kekal menggalakkan, meningkat sebanyak AS$6.81 bilion (RM30.42 bilion) bagi melepasi paras AS$100 bilion.
"Ini mencerminkan pelaburan peralatan teknologi kukuh yang berterusan dalam DRAM dan memori lebar jalur tinggi (HBM), didorong oleh pengkomputeran AI," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
MIDF Research juga berkata, China secara agresif akan mengembangkan pasaran peralatan wafer fab di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan dengan Amerika Syarikat (AS), yang akan memacu lagi pertumbuhan dalam sektor teknologi untuk 2026.
“Walau bagaimanapun, kami berpendapat, jualan peralatan A&P (pemasangan dan pembungkusan) pada 2025 dijangka meningkat sebanyak AS$790 juta kepada AS$5.73 bilion, kadar yang lebih perlahan sebanyak 16% YoY berbanding 2024 sebanyak 22.6% YoY,” katanya.
Secara keseluruhannya, MIDF Research berkata walaupun pertumbuhan dalam pemasangan dan pembungkusan dijangka perlahan pada 2025, bidang berkaitan AI akan membuka jalan untuk prospek yang lebih positif pada 2026.- DagangNews.com