Petronas Chemicals catat rugi bersih RM762 juta akibat pertukaran dolar AS lemah  | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals catat rugi bersih RM762 juta akibat pertukaran dolar AS lemah 

Gambar hiasan dari laman web rasmi Petronas
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatat kerugian bersih sebanyak RM762 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (3Q2024). 

 

Pengeluar bahan kimia bersepadu itu berkata, kerugian pertukaran mata wang asing (forex) yang tidak direalisasi atas penilaian semula hutang di Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPC) dan penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPC mendorong kepada kerugian suku tersebut. 

 

Katanya, PPC yang merupakan syarikat usaha sama PCG dan Saudi Aramco itu menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan kelemahannya baru-baru ini mengakibatkan kerugian pertukaran forex. 

 

 

"Kumpulan juga menyediakan pinjaman pemegang saham yang didominasikan dalam AS$ kepada PPC yang juga terdedah kepada pertukaran forex yang tidak direalisasi berjumlah RM492 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Jumlah kerugian pertukaran forex pada suku itu ialah RM1.1 bilion dan ini termasuk kerugian pertukaran pertukaran forex operasi-operasi lain berjumlah RM86 juta. 

 

Di samping itu, segmen komoditi Kumpulan iaitu Olefin & Derivatif (O&D) dan Baja & Metanol (F&M) telah merekodkan peningkatan pada 3Q 2024 mencapai kadar penggunaan loji (PU) purata sebanyak 92%, yang menyumbangkan kepada peningkatan dalam jumlah pengeluaran. 

 

"Jumlah jualan O&D juga didorong oleh sumbangan volum daripada PPC. 

 

"Walau bagaimanapun, segmen kimia khusus, mengalami sedikit penurunan dalam pengeluaran dan jualan akibat permintaan yang rendah akibat ketersediaan produk yang lebih tinggi," katanya. 


 
Mengulas mengenai prestasi Kumpulan, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, PCG amat terkesan oleh kemerosotan dolar AS berbanding ringgit Malaysia (RM). 

 

PCG
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail

 

"Dari segi operasi, prestasi perniagaan teras kami bertambah baik pada 3Q2024, berikutan penggunaan loji Malaysia yang lebih tinggi yang mampu menyumbang kepada jumlah jualan.

 

“Sementara itu, kami telah menyelesaikan semua Ujian Prestasi unit petrokimia kami di PPC dan kini sedang bersiap sedia untuk operasi komersial yang disasarkan bermula pada akhir tahun ini," katanya.  - DagangNews.com