Petronas Dagangan diramal catat prestasi berdaya tahan walaupun berlaku penyelarasan subsidi | DagangNews Skip to main content

Petronas Dagangan diramal catat prestasi berdaya tahan walaupun berlaku penyelarasan subsidi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Nov - Petronas Dagangan Bhd diramal mencatatkan prestasi berdaya tahan walaupun berlaku penyelarasan subsidi kerana disokong bahagian pasaran kukuh dalam jualan diesel dan penggunaan kad fleet.

 

Penganalisis meramalkan prospek memberangsangkan bagi segmen komersial Petronas Dagangan, didorong harga bahan api jet yang stabil serta permintaan perjalanan akhir tahun, manakala jualan runcit mungkin menghadapi sedikit tekanan, kerana rasionalisasi subsidi RON95 yang akan datang boleh membawa implikasi jangka panjang.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kesan ke atas jualan diesel kumpulan selepas pemotongan subsidi mungkin telah dianggarkan terlalu tinggi kerana kumpulan itu memegang bahagian pasaran yang agak tinggi dalam kalangan pesaingnya dalam pasaran diesel komersial dan kad fleet untuk segmen runcit.

 

"Pada pandangan kami, faktor ini mungkin membantu Petronas Dagangan mengekalkan jualan diesel keseluruhannya selepas pemotongan subsidi tahun ini.

 

"Segmen komersial dijangka kekal positifpada suku akan datang, kerana harga bahan api jet mengekalkan aliran menurun pada AS$89 setong pada suku keempat tahun ini berbanding AS$92 pada suku ketiga 2024," kata firma penyelidikan itu.

 

HLIB menemak naik penarafan kumpulan kepada "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM22.49 sesaham.

 

Terdahulu, untung bersih Petronas Dagangan melonjak 81.4% kepada RM335.1 juta pada 3QFY24 daripada RM184.7 juta pada 3Q23. Hasil kumpulan bagaimanapun seidkit melebihi jangkaan.

 

 

petronas

 

 

TA Research berkata, sejajar dengan keputusan yang lebih kukuh daripada jangkaan, ia meningkatkan ramalan pendapatan kumpulan sebanyak 22.6% untuk 2024 dan 8.5% untuk 2025 dan 2026 untuk mencerminkan margin yang lebih tinggi, khususnya untuk tahun ini, serta volum jualan yang lebih tinggi.

 

Berikutan semakan pendapatan, firma penyelidikan itu menaikkan TP Peronas Dagangan kepada RM18.20 daripada RM18.10 dan menyemak naik penarafannya kepada "tahan" daripada "jual".

 

“Susulan pemansuhan subsidi diesel tahun ini, kerajaan dijangka melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi petrol RON95 mulai pertengahan 2025.

 

"Walaupun sebelum ini kami bimbang tentang rasionalisasi subsidi RON95, kami percaya kesan kepada volum jualan dalam jangka masa terdekat mungkin ringan kerana kami percaya kumpulan pendapatan T15 tidak mungkin mengurangkan penggunaan dengan ketara kerana langkah itu," katanya

 

"Bagaimanapun, sentiasa ada kemungkinan untuk memperluaskan skop rasionalisasi subsidi RON95 kepada kumpulan pendapatan lain di luar T15 lebih jauh, terutamanya dalam konteks yang lebih luas untuk memacu peralihan kepada mod pengangkutan yang lebih bersih," katanya.- DagangNews.com