Petronas menjelaskan perbincangan dengan Petros mengenai pengedaran gas belum muktamad | DagangNews Skip to main content

Petronas menjelaskan perbincangan dengan Petros mengenai pengedaran gas belum muktamad

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Nov - Petroleum Nasional Berhad (Petronas) menjelaskan pihaknya masih dalam perbincangan dengan Sarawak Petroleum Berhad (Petros) berhubung cadangan pelaksanaan Ordinan Pengagihan Gas (DGO).

 

“Perbincangan berterusan bertujuan untuk menyelaraskan kepentingan dan objektif semua pihak di samping memelihara keluhuran pengaturan kontrak sedia ada dan memastikan komitmen kepada pelabur serta pelanggan dapat terus dipenuhi,” kata Petronas dalam satu kenyataan dua perenggan.

 

Kenyataan Petronas itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg bahawa perundingan yang berlarutan telah `diselesaikan secara rasmi'.

 

Menurut Abang Johari, Petronas pada dasarnya bersetuju bahawa Petros akan berfungsi sebagai pengumpul gas tunggal untuk Sarawak.

 

"Kita akan meneruskan usaha sebagai agregator," katanya, sambil menambah bahawa walaupun butiran lanjut akan dibincangkan, perjanjian itu mengukuhkan peranan utama Petros dalam pengurusan gas Sarawak.

 

Beliau berkata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi telah menerima pemberitahuan tidak rasmi, dengan surat rasmi yang mengesahkan pengaturan untuk diikuti.

 

Resolusi ini dibuat selepas kerajaan Sarawak menetapkan tarikh akhir tiga bulan untuk Petronas menyelesaikan isu pengagihan gas dengan Petros pada 28 Julai.

 

Namun dengan kenyataan terbaharu Petronas tersebut, kedudukan perundingan kembali menjadi teka-teki industri. - DagangNews.com