KUALA LUMPUR 28 Okt - Institusi kewangan bukan bank, Planworth, mensasarkan pengeluaran pembiayaan kewangan sebanyak RM700 juta pada 2024 bagi membantu perniagaan tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Planworth, Dato' Kuek Andy, tahun lalu sahaja, syarikatnya mengeluarkan pembiayaan kewangan sebanyak RM500 juta dan peningkatan jumlah pembiayaan yang disasarkan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.
"Kami turut membantu perniagaan yang menghadapi masalah kewangan termasuk yang memiliki rekod kurang baik kerana kami percaya setiap orang berhak mendapat peluang kedua.
"Selain bantuan kewangan, pihak kami turut memberi khidmat nasihat kepada usahawan bukan sahaja tentang cara mengembangkan perniagaan, tetapi juga menguruskan aliran tunai dengan baik," katanya dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhan semenjak penubuhan syarikat, Planworth telah menyuntik pelaburan mencecah RM2 bilion dan bakal menjangkau RM3 bilion.
Dalam pada itu, Planworth mengukir sejarah apabila menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) pada majlis anugerah yang berlangsung pada Sabtu.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Ramanan Ramakrishnan, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang syarikat dalam membantu pembangunan negara.
Turut hadir adalalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Ewon Benedick.
Andy dalam pada itu berkata, penerimaan anugerah berkenaan merupakan penghargaan besar kepada syarikatnya, namun beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut diperoleh hasil sokongan pelanggan daripada pelbagai segmen perniagaan.
"Kami tidak berniaga semata-mata untuk anugerah. Keutamaan kami adalah membantu lebih banyak perniagaan tempatan mengurus aliran tunai mereka dengan lebih baik, sama ada syarikat kecil atau syarikat besar," ujarnya.
Beliau menambah, syarikatnya percaya kepada konsep memberi bantuan dengan ikhlas dan menikmati kejayaan bersama pelanggan yang dibantu dengan objektif memperkasakan dan mengembangkan perniagaan mereka secepat mungkin.
"Membantu keperluan kewangan dan menggembangkan perniagaan pelanggan adalah satu penghormatan buat Planworth.
"Perniagaan yang berkembang mengkukuhkan ekonomi negara seterusnya memberi banyak peluang kepada orang ramai dari segi pekerjaan, perniagaan dan lain- lain," jelasnya.
Planworth menyediakan Solusi Modal Kerja melalui pembiayaan invois (invoice financing), pembiayaan belian (purchase order), pengurusan modal kerja (working capital), pinjaman berjangka (term loan), kredit pusingan (revolving credit), pengurusan penghutang (trade receivables) secara konvensional dan islamik untuk bisnes perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada kerajaan (B2G).
"Saya berharap syarikat akan terus menjadi jaguh Malaysia yang berkembang ke rantau ASEAN, termasuk cawangan di Singapura yang telah memenangi beberapa anugerah utama industri," katanya. - DagangNews.com