Press Metal Aluminium diramal catat pertumbuhan dua digit pada FY25, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Press Metal Aluminium diramal catat pertumbuhan dua digit pada FY25, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Press Metal Aluminium Holdings Bhd dijangka mencatatkan pertumbuhan dua digit pada FY25 didorong harga aluminium yang stabil dan ekonomi China semakin pulih, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Katanya, harga aluminium dijangka stabil selain jangkaan penurunan harga alumina akan memberikan sokonga kepada margin kumpulan itu menjelang 2025.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, cabaran jangka pendek dijangka berterusan, dengan kumpulan itu mungkin melaporkan pendapatan yang lebih lemah untuk suku ketiga 2024, terjejas oleh penurunan 5.5% dalam harga aluminium purata kepada AS$2,385/MT dan kenaikan 18% dalam harga alumina.

 

"Kami menjangkakan pendapatan Press Metal pada suku ketiga 2024 adalah antara RM325 juta dan RM375 juta, mewakili kejatuhan 27% hingga 37% dari suku tahun ke suu tahun.

 

"Namun begitu, dari tahun ke tahun, angka itu dijangka berkembang sebanyak 6% hingga 22%, ditambah dengan peningkatan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Berdasarkan faktor ini, HLIB telah mengurangkan ramalan FY24, FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 16%, 7% dan 7%.

 

“Secara keseluruhannya, kami mengurangkan ramalan FY24/FY25/FY26 sebanyak -16%/-7%/-7%, kerana kami mengaitkan andaian ringgit yang lebih kukuh, andaian harga alumina yang lebih tinggi dan pengurangan kapasiti 3% pada 2024, berikutan kejadian kebakaran di peleburan fasa 3,” katanya.

 

Sementara itu, HLIB mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah sebanyak RM6.07 (daripada RM6.51), memetik struktur kos syarikat yang menggalakkan dengan kontrak tenaga jangka panjang dan profil persekitaran, sosial dan tadbir urus yang kukuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerana kebanyakan peleburan Press Metal adalah berkuasa hidro, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada minat yang semakin meningkat dalam logam hijau. - DagangNews.com