Propel Gobal bekerjasama dengan syarikat pembinaan China, CSCE bangunkan infrastruktur Malaysia | DagangNews Skip to main content

Propel Gobal bekerjasama dengan syarikat pembinaan China, CSCE bangunkan infrastruktur Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Propel Global Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pembinaan China, CSCEC The Third Construction Engineering Company Ltd, sebahagian daripada China Construction Second Engineering Bureau (CSCEC).

 

Kerjasama itu menyasar untuk memacu teknologi pembinaan dan pelaksanaan projek berkaitan melalui  perkongsian kepakaran, kemahiran, sumber dan harta inteleknya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembangunan infrastruktur di Malaysia. 

 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, perkongsian itu bakal mengembangkan jejaknya ke dalam projek infrastruktur berskala besar di Malaysia

 

“Propel Global dan CSCEC akan meneroka potensi kerjasama dalam pembinaan infrastruktur kritikal, termasuk pusat data, menara telekomunikasi, hospital, loji rawatan air, dan pelbagai projek komersial, kediaman, perindustrian dan infrastruktur lain. 

 

“CSCEC, pula merupakan peneraju global dalam pembinaan dan pembangunan dengan operasi di lebih 100 negara, membawa banyak pengalaman dalam projek pembinaan berskala besar,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

 

 

nnn
Pengarah Eksekutif / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee

 

Pengarah Eksekutif / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee menjelaskan MoU itu sebagai bukti komitmennya untuk mengembangkan langkah di dalam sektor infrastruktur. 

 

“Kerjasama dengan CSCEC membuka peluang untuk Propel Global mengambil bahagian dalam projek infrastruktur yang penting. 

 

“Melalui perkongsian ini, Propel Global berada pada kedudukan yang baik untuk terus memacu pertumbuhan yang mampan dan meningkatkan nilai untuk pemegang kepentingan kami,” katanya. 

 

Memandang ke hadapan, Kumpulan itu akan meneroka peluang dalam sektor minyak dan gas Malaysia, terutamanya melalui peningkatan aktiviti huluan dan potensi kesan limpahan daripada projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), serta sektor pembinaan. - DagangNews.com