KUALA LUMPUR 28 Nov - MKH Oil Palm (East Kalimantan) Bhd mengunjurkan, prospek bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2025 akan disokong dengan permintaan pasaran yang kukuh terhadap minyak sawit mentah (MSM).
Pengerusinya, Tan Sri Alex Chen Kooi Chiew @ Cheng Ngi Chong berkata, permintaan terhadap MSM kekal stabil, yang diperkukuhkan sebahagiannya oleh pelaksanaan mandat biodiesel dari biodiesel B35 ke B40, bekalan global minyak dan lemak sayuran yang agak terhad, serta permintaan bermusim yang kuat.
"Selain itu, syarikat juga sedang menjalankan proses penilaian untuk perolehan tanah yang dirancang, dan pengumuman berkaitan akan dibuat secara berperingkat dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya turut menjalankan penyelidikan untuk mengintegrasikan penternakan ikan dalam ladang mereka bagi meningkatkan kecekapan dan sebagai sebahagian daripada usaha alam sekitar, sosial, dan tadbir urus syarikat.
Pada suku keempat yang berakhir 30 September 2024, MKH mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM21 juta dengan hasil RM90.59 juta.
Tiada angka perbandingan dari suku tahun lepas kerana syarikat baru sahaja disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 30 April tahun ini.
Bagi keseluruhan tahun kewangan, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM63.56 juta dengan hasil RM352.22 juta berbanding RM30.9 juta dan hasil RM338.16 juta pada tahun sebelumnya.
MKH Oil Palm mengumumkan dividen interim kedua sebanyak dua sen sesaham yang akan dibayar pada 30 Disember 2024 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai dalam rekod pendeposit syarikat pada 13 Disember 2024. - DagangNews.com