Prospek jangka pendek sektor perbankan dijangka positif didorong peningkatan pendapatan berasaskan dana, kata Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Prospek jangka pendek sektor perbankan dijangka positif didorong peningkatan pendapatan berasaskan dana, kata Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - Prospek sektor perbankan diramal positif dalam tempoh terdekat selepas mengalami pertumbuhan kredit yang perlahan pada September 2024.

 

Affin Hwang Investment Bank Research berkata, terdapat potensi peningkatan dalam sektor itu, didorong peningkatan dalam pendapatan berasaskan dana melalui pengurusan margin faedah bersih (NIM) dan pendapatan yuran dipacu pasaran modal.

 

Katanya, pelonggaran global meningkatkan keuntungan pasaran, manakala pelaburan langsung asing dan domestik yang lebih tinggi serta pelaksanaan pembaharuan struktur membantu mengekalkan keyakinan pelabur.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada September 2024, sektor perbankan domestik menyaksikan kadar pertumbuhan yang sederhana dalam sektor terpilih seperti pembuatan, pembinaan dan segmen bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Affin Hwang Research berkata, kadar kelulusan keseluruhan untuk pinjaman perniagaan dan pengguna adalah konsisten pada 51%, tetapi menyaksikan penarikan semula dalam permohonan pinjaman (perniagaan dan isi rumah) pada September 2024.

 

Katanya, terdapat penurunan dalam kadar pinjaman purata bank kepada 5.23% (turun tiga mata asas (bps) bulan ke bulan dan kejatuhan 26 mata asas tahun ke tahun), membayangkan persaingan yang semakin meningkat.

 

“Kami kekal yakin dengan prospek pendapatan sektor perbankan bagi 2024-2026 dan percaya bank mungkin terus mengadar semula kepada gandaan P/BV yang lebih tinggi daripada 1.11 kepada 1.17 kali kepada 1.3 hingga 1.4 kali, melalui potensi pengembangan pulangan atas ekuiti (ROE) ke arah 11% kepada 12%,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan momentum pendapatan meningkat pada 2024-2026 berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih teguh.

 

Katanya, pertumbuhan akan disokong oleh keadaan ekonomi yang menggalakkan dan peningkatan infrastruktur domestik dan projek pembinaan.

 

Faktor pemangkin lain termasuk Zon Ekonomi Khas Malaysia-Singapura (JS-SEZ), pelaburan tenaga boleh diperbaharui (RE) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan pemulihan dalam pasaran semikonduktor global.

 

“Peluang tematik baharu untuk sektor perbankan termasuk melihat ke timur ke negeri Borneo Sarawak dan Sabah serta keselamatan makanan di bawah Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

 

Affin Hwang Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan, memilih CIMB Group Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) sebagai pilihan utamanya.

 

Ia mempunyai harga sasaran (TP) RM9 sesaham untuk CIMB dan positif terhadap strategi pengoptimuman ROE kumpulan perbankan dan pendedahan ASEAN, kerana ia mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang teguh di Indonesia dan Singapura.

 

Firma penyelidikan itu memberi TP RM12.10 sesaham untuk Maybank memandangkan saluran urus niaganya yang teguh dan peningkatan dalam segmen pasaran pertengahan dan hasil dividen yang menarik sebanyak 6.1% hingga 6.3%. - DagangNews.com