Proton e.MAS 7 lengkapkan jelajah 894 kilometer ke selatan Malaysia, kini menuju utara | DagangNews Skip to main content

Proton e.MAS 7 lengkapkan jelajah 894 kilometer ke selatan Malaysia, kini menuju utara

Oleh Shamsiah Zulkafli

SUBANG JAYA 10 Okt - Kenderaan elektrik (EV) pertama Proton, Proton e.MAS 7 berjaya menempuh pengembaraan sejauh 894 kilometer merentasi negeri-negeri di selatan Malaysia dalam fasa pertama, yang juga sebahagian jelajah sejauh 2,000 kilometer bagi membolehkan orang ramai menyaksikannya dengan lebih dekat.

 

Pengembaraan itu adalah satu daripada projek ke arah pelancarannya pada hujung 2024.

 

Sepanjang pengembaraan, e.MAS 7 menempuhi pelbagai cuaca dan keadaan jalan raya di Malaysia, di mana jurutera Proton bekerja keras untuk memastikan kenderaan berkenaan mampu menempuh perjalanan panjang sebelum digunakan rakyat Malaysia. 

 

Kenderaan tersebut berhenti di 23 perhentian termasuk empat pratonton eksklusif oleh pengedar bagi memberi peluang kepada orang ramai terutamanya penduduk tempatan untuk berinteraksi dan menyaksikan sendiri keunggulan kereta EV sulung itu.

 

Jelajah Proton e.MAS 7 yang bermula dari PROTON Center of Excellence (COE) ke selatan tanah air, singgah di Muzium Minangkabau Negeri Sembilan sebelum ke Melaka dan sempat dirakam di hadapan bangunan bersejarah A’Famosa, yang menyerlahkan lagi reka bentuknya yang unggul dan kontemporari. 

 

Seterusnya, e.MAS 7 berhenti di lokasi-lokasi menarik dan popular bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat reka bentuk uniknya yang dipamerkan bersama corak pelekat pembalut kereta. 

 

Sepanjang jelajah berkenaan, orang ramai terpesona dengan e.MAS 7 sebagai sebuah SUV elektrik yang terbesar dalam segmennya serta elemen gaya reka bentuk seperti pemegang pintu tersembunyi dan lampu belakang LED panjang.

 

Jelajah e.MAS 7 turut menerima sambutan yang memberangsangkan di restoran-restoran popular tempatan di mana ramai orang turut menyertai aktiviti yang diadakan melalui permainan interaktif yang menyeronokkan. 

 

Persinggahan di empat bilik pameran pengedar di Melaka dan Johor, membolehkan lebih 1,000 pengunjung berpeluang melihat e.MAS 7 dengan lebih dekat dan menyaksikan sendiri ciri-ciri utama EV pertama Proton itu seperti seni bina Cell-to-Body (CTB) dan sistem Pemanduan Elektrik Pintar 12-dalam-1, sambil menekankan reka bentuk canggihnya dan praktikaliti yang inovatif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, jelajah e.MAS 7 bukan sahaja mempamerkan keupayaan dan ciri-ciri baharu EV itu, tetapi juga meningkatkan interaksi bersama dengan komuniti tempatan. 

 

"Maklum balas positif yang kami terima daripada orang ramai mengenai keluasan dalaman kereta ini dan reka bentuknya yang unggul, menekankan potensi e.MAS 7 dalam pasaran EV," katanya dalam satu kenyataan.

 

Setelah menamatkan fasa pertama ke selatan negara, jelajah Proton e.MAS 7 kini menuju ke utara melibatkan negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. - DagangNews.com